Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum W.b.t...
Di akhirat nanti, berlaku dialog di pintu syurga antara Malaikat Jibrail dengan Malaikat Ridhwan yang menjaga syurga. Malaikat Ridhwan terpaksa meminta nasihat daripada Jibrail dalam menyelesaikan masalah empat orang manusia yang beruntung masuk syurga tanpa dihisab. Masing-masing memohon masuk syurga mendahului sahabat-sahabatnya yang lain.
Manusia yang berkenaan ialah pejuang yang syahid, orang kaya yang dermawan, pekerja haji yang mabrur, dan seorang alim yang soleh.
Malaikat Ridhwan meminta pertolongan Jibrail bagi menyelesaikan masalah mereka. Jibrail terus menemui mereka dan memanggil seorang demi seorang untuk menyelesaikan perebutan itu.
Pejuang yang syahid itu dengan sikap kepahlawanan dan kesatria maju ke depan. Terus saja dia disoal siasat oleh Jibrail.
JIBRAIL: Kamu pejuang yang mati syahid?
PEJUANG: Benar! Saya syahid kerana membela agama dalam suatu peperangan.
JIBRAIL: Syabas, beruntung kamu!
PEJUANG: Alhamdulillah, syukur.
JIBRAIL: Tetapi bagaimana kamu berani sehingga sanggup mati cuma kerana membela agama?
PEJUANG: Mahu syahid. Jika menang, dapat menyebarkan Islam dan mati terus masuk syurga.
JIBRAIL: Bagaimana kamu tahu mati membela agama itu syahid dan syahid itu balasannya syurga…?
PEJUANG: Orang alim memberitahu aku.
JIBRAIL: Oh, orang alim beritahu.
PEJUANG: Begitulah. Saya amat yakin dengan apa yang dia beritahu.
JIBRAIL: Jika demikian, jagalah akhlak kamu. Kamu tidak patut melewati orang alim. Biarlah orang alim masuk syurga mendahului kamu.
Pejuang itu kelihatan malu. Menundukkan kepalanya kerana menyedari ketidaksopannya mendahulukan dirinya daripada orang alim, sedangkan orang alimlah yang menanamkan semangat juang ke dalam dirinya sehingga dia menjadi seorang pahlawan yang syahid.
Jibrail kemudiannya memanggil haji mabrur yang tidak cacat ibadah hajinya ketika mengerjakan ibadah itu.
JIBRAIL: Siapa kamu sehingga sanggup berebut-rebut masuk syurga dahulu daripada orang lain?
HAJI: Saya seorang haji mabrur. Saya dapat tahu bahawa Nabi berjanji bagi haji mabrur seperti saya ini balasnnya masuk syurga… Bukankah begitu?
JIBRAIL: Memang benar begitu. Tetapi daripada mana kamu dapat tahu?
HAJI: Guru saya, seorang alim yang salih.
JIBRAIL: Kalau begitu, jagalah kesopanan kamu. Biarlah guru kamu itu masuk dahulu.
Haji itu juga malu dan insaf, lalu mengundur diri di atas kesilapan yang tidak disedari. Disebabkan oleh sifat tamak, gelojoh dan pentingkan diri, maka dia lupa bahawa sebenarnya ada orang lain yang lebih utama daripadanya.
Kemudian Jibrail memanggil orang kaya yang dermawan.
JIBRAIL: Kamu juga berebut-rebut mahu masuk syurga mendahului orang lain.
ORANG KAYA: Memang begitulah kerana syurga itu milik saya.
JIBRAIL: Mengapa kamu mendakwa demikian?
ORANG KAYA: Saya orang kaya dan berharta. Harta itu saya perolehi secara halal. Saya bekerja keras dengan penuh amanah. Alhamdulillah, saya dapat kumpul banyak harta. Kemudian harta itu saya belanjakan di jalan Allah. Saya nafkahkan kepada anak isteri, ayah ibu, adik beradik, keluarga, waris jauh dan dekat dan orang yang memerlukannya. Saya bantu orang miskin, anak-anak yatim, orang tua yang tidak berwaris, bahkan kerajaan pun saya bantu melalui cukai dan zakat.
JIBRAIL: Dari mana kamu tahu ini semua bahawa orang kaya berharta yang pemurah itu diganjarkan Allah dengan syurga?
ORANG KAYA: Guru saya, orang alim.
JIBRAIL: Kalau begitu, orang alimlah yang berjasa kepada kamu sehingga kamu sendiri dididiknya sebagai dermawan.
ORANG KAYA: Memang benar. Terima kasih saya kepada orang alim.
JIBRAIL: Jadi, mengapa kamu biarkan orang alim itu di belakang. Biarlah guru kamu itu masuk dulu ke syurga.
ORANG KAYA: Saya setuju begitu. Biarlah guru saya itu masuk dahulu.
JIBRAIL: Itulah yang sepatut-patutnya.
Orang kaya itu pun mengundurkan diri. Jibrail kemudiannya memanggil orang alim dan mempersilakan dia ke syurga. Semua yang lain bersetuju mengizinkan orang alim itu mendahului mereka ke syurga. Tetapi kelihatan orang alim itu tidak bercadang demikian. Dia merendahkan diri dengan penuh tawaduk dan mengalah kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kemudian terus saja dia berucap:
“Maaf sahabat-sahabatku sekalian dan para malaikat yang bijaksana. Memang benarlah saya adalah guru mereka. Tetapi kita harus ingat, saya tidak mungkin dapat mengajar dan mencurahkan ilmu saya kepada mereka jika tidak ada pahlawan yang berjuang dan sedia mati syahid kerana membela keamanan negara. Jasa pahlawan adalah besar kepada kita semua.
“Saya juga tidak akan beroleh pahala yang terus menerus jika murid saya yang haji mabrur itu tidak mengamalkan ilmu yang saya ajar itu secara benar.
“Dan saya orang alim, dia pahlawan dan dia haji mabrur tidak dapat menjalankan tugas masing-masing jika tidak ada orang kaya yang dermawan yang bersedia membiayai tentera berangkat ke medan perang, yang menyebabkan negara menjadi aman sehingga memberi kelapangan bagi perjalanan haji, dapat membangun madrasah dan masjid, membina tempat-tempat kebajikan, rumah-rumah orang tua, anak yatim dan lain-lain pembangunan. Semuanya itu tidak mungkin terwujud jika di kalangan masyarakat manusia tidak ada orang kaya dermawan, atau tidak ada orang kaya yang sedar bahawa, harta yang dimilikinya itu adalah amanah Allah.
“Oleh yang demikian, biarlah orang kaya lebih dahulu masuk syurga, kemudian pejuang, disusuli pula haji mabrur. Izinkan saya masuk syurga yang paling penghabisan, kerana peranan saya tidak sehebat mereka.”
Akhirnya, Jibrail pun membuat keputusan sebagaimana yang dicadangkan oleh orang alim yang berkenaan.
Wallahua'lam..
0 ulasan:
Catat Ulasan