Jom Click

Sabtu, 21 Januari 2012

Rahsia Allah


Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam meniti usia awal dewasa ini, banyak sudah undangan perkahwinan yang aku terima daripada kawan2 yang seusia denganku. Tahun lepas kawan baikku masa sekolah dulu telah selamat mendirikan rumah tangga. Terkejut juga kerna tidak menyangka jodohnya terlalu awal. Sebut pasal jodoh pasti ramai di antara kita terutamanya mereka yang seusia denganku begitu teruja mendengarnya. Rasa lucu pun ada bila bercakap pasal jodoh ni. Teringat kenanganku bersama rakan2 di Monash dulu. Bila ada je kawan2 kami bakal mendirikan baitul muslim, mula la kecoh mulut bercerita: 'Bestnye dah nak kawin!!' 'Awalnye die kawin!' 'Beruntungnya kawin awal!' dan yang paling aku tak dapat lupa ada di antara kami dengan nada sayu meluahkan perasaan: 'Bila la aku nak kawin?Semua orang dah ada pasangan masing2.Kita ni tak laku ke?' Hahaha..aku mampu ketawa dan tersenyum. Memang selalu saja ayat ini meniti di mulut kawan2 aku. Sengaja mencipta suasana yang mengujakan bila terdengar ada sahabat2 yang bakal atau telah melangkah ke alam rumah tangga. Walaupun kami sedar bukan kami tak laku tapi kami sendiri yang tidak mahu. Tidak mahu mengambil risiko untuk bercinta sebelum kahwin yang selalunya memakan diri. Walaupun kami tiada pengalaman bercinta tapi cukup bagi kami yang mempunyai banyak pengalaman berhadapan dengan kawan2 yang pernah bercinta dan akhirnya putus di tengah jalan.

Aku bersyukur kerana mempunyai kawan yang sefahaman denganku yang menganggap cinta selepas kahwin itu adalah cinta yang dapat berkekalan hingga ke syurga dengan izinNya. Bagi kami jodoh pertemuan di tangan Allah. Ini adalah rahsiaNya. Rahsia yang hanya Dia saja yang tahu bila dan dimana. Rahsia inilah yang menjadi nikmat bagi mereka yang percaya bahawa jodoh mereka sudah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Tidak hairanlah ramai di antara mereka yang berkahwin pada mulanya tanpa rasa cinta dan akhirnya hidup bahagia bersama pasangan mereka dengan rasa cinta yang mekar dari hari ke hari. Percayalah kepada qada' dan qadarnya bahawa jodoh kita akan tiba jua tepat pada waktunya. Usah dipersoal bila dan dimana. Yang paling penting berdoa kepadaNya agar dipertemukan dengan jodoh yang terbaik buat kita. Yang dapat melengkapi antara satu sama lain dalam meraih cinta dan redhaNya. Serta penting juga bagi kita untuk mempersiapkan diri untuk menjadi yang terbaik supaya Allah mengakbulkan doa kita yang mendambakan pasangan hidup yang terbaik buat kita.
"(Lazimnya) perempuan2 yang jahat adalah untuk lelaki2 yang jahat, dan lelaki2 yang jahat untuk perempuan2 yang jahat dan (sebaliknya) perempuan2 yang baik untuk lelaki2 yang baik, dan lelaki2 yang baik untuk perempuan2 yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang2 (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah An-Nur ayat 26).

Aku bersetuju dengan kata2 seorang sahabatku soal jodoh: "Jangan risau jika kita belum berpunya kerana diri kita ini mahal". YA, betul!! Maruah seorang wanita begitu mahal sehingga tak terbayar dengan wang ringgit. Maruah seorang wanita harus dijaga khusus buat suaminya. Dan maruah ini bukan untuk dipamer2 dan dilelong2 kepada lelaki2 yang tidak mempunyai sebarang ikatan dengan kita atau dikenali sebagai lelaki ajnabi. Janganlah kita mudah menyerahkan maruah kita kepada golongan ini sebelum mempunyai ikatan yang sah sebagai suami isteri.
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Dunia adalah perhiasan, dan sebaik2 perhiasan dunia adalah wanita yang solehah" (Hadis riwayat Muslim).
Akhir kalam, ingatlah wahai gadis2 sunti di luar sana dan juga diriku sendiri;
Ber'couple' hanyalah merendahkan martabat atau maruah kita yang sememangnya tinggi dan hanya boleh dicapai oleh tangan yang mempunyai niat yang tulus untuk memiliki dengan ikatan yang sah. Bertunang hanya untuk menanda bahawa kita bakal menjadi isteri kepada si dia tetapi belum tentu dia jodoh kita sebelum terjadinya akad pernikahan. Maka, percepatkanlah pernikahan sebagaimana yang tersebut dalam hadis Rasulullah S.A.W.:
"Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" (Hadis riwayat Termidzi dan Ahmad).
Memang benar perkahwinan bukan satu perkara yang mudah kerana tanggungjawab yang terpaksa dipikul semakin bertambah dan berat. Tapi percayalah sunnah Rasulullah S.A.W. ini bukan disuruh kepada kita untuk menyusahkan diri kita bahkan untuk menyenangkan lagi. Menyenangkan kita dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain" (Hadis riwayat Al-Tabrani Fil-Ausath).
Sumber rujukan: Rakan Masjid

Isnin, 16 Januari 2012

Malang Tidak Berbau

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih memberi kesempatan kepadaku untuk bernafas di atas muka bumi ini. Segala puji dan syukur kurafa'kan kepadaMu kerana memberi kekuatan pada diri ini untuk berkongsi pengalamanku yang paling pahit yang kukira pernah dialami olehku. Walaupun terasa berat lagi hati ini untuk bercerita dan masih perit lagi bagiku untuk mengingati kembali satu persatu kronologi peristiwa yang berlaku pada dinihari 14 Januari 2012. Seolah2 telah diatur rapi oleh Yang Maha Kuasa, aku sebagai hambaNya pasrah dan redha dengan apa yang berlaku.

Hari Selasa yang lepas aku dan ummi bertolak ke Johor untuk melawat anak buahku yang demam. Pada permulaannya aku menolak ajakan ummi untuk ke sana kerana entah mengapa hati aku terasa berat sangat seakan2 dapat meramal ada perkara yang buruk bakal berlaku. Tapi disebabkan desakan ummi dan abah, aku terpaksa akur. Selama 4 hari aku di sana, anak buahku kelihatan semakin aktif dan demamnya semakin kebah. Pada tengahari Jumaat itu, abangku tiba2 mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama2 pada malam itu juga kerana minggu depan (minggu ini) dia harus ke KL atas urusan kerja dan anaknya terpaksa ditinggalkan di kampung. Malam itu juga selepas solat isya' kami bertolak dari sana ke kelantan. Dalam perjalanan ummi menemani abangku bersembang untuk menghilangkan rasa mengantuk dan penat abangku yang memandu kereta. Dan aku sempat melelapkan mata sehinggalah tiba di Muadzam Shah, Pahang.

Abangku yang dari tadi berperang dengan perasaan mengantuk akhirnya tumpas jua. Dek kerana perjalanan kami masih jauh dan dengan keadaan abangku yang separuh sedar, aku menawarkan diri untuk memandu walaupun pada mulanya aku agak keberatan. Aku memulakan perjalanan dari Gambang menuju ke Kuantan. Disebabkan malas untuk mengejutkan abangku yang sedang nyenyak tidur di belakang, aku mengambil keputusan untuk mengikuti jalan yang selalu dilalui oleh abahku iaitu jalan ke Bukit Besi. Pada masa itu, aku langsung tidak terfikir yang jalan itu hanya dilalui pada sebelah siang dan tidak menjadi pilihan pada waktu malam kerana jalan2nya gelap, dikelilingi kelapa sawit, dan yang paling teruk adalah jalannya yang banyak lubang. Bagaikan mimpi ngeri bagiku kerana terpaksa memandu dengan perlahan (dengan hadlaju 60 -80km/j) untuk mengelak lubang2 yang besar dan dalam serta dalam keadaan yang gelap gelita tanpa lampu jalan yang ada hanyalah lampu kereta. Ummiku tidak berhenti2 berzikir untuk mengingatkan aku pada Yang Maha Agung agar dijauhi dari perkara yang tidak diingini.

Alhamdulillah selepas hampir 2 jam (2.30pg -4.30pg) melalui jalan yang menyeramkan itu, kami sampai juga di Bukit Besi, Terengganu. Dari sana aku mengambil jalan ke Kuala Berang melalui Lebuhraya Pantai Timur yang belum siap sepenuhnya tapi selalu digunakan oleh abahku semasa balik dari Johor atau Kuantan. Lebuhraya itu pada permulaan masuknya agak cerah disimbah lampu jalan namun selepas melepasi beberapa kilometer, keadaan kembali gelap ditambah pula dengan hujan renyai2. Bagai sudah diatur olehNya, ummiku tadi yang tidak putus2 berzikir akhirnya terlelap dan aku pula tiba2 rasa mengantuk. Untuk mengelakkan dari terlelap aku memecut agak laju sedikit dalam 100 km/j-110 km/j yang pada awalnya hadlaju kereta hanyalah 90km/j kerana untuk laju lagi aku tak berapa berani disebabkan keadaan jalan yang basah dan gelap. Dalam keadaan jalan yang gelap ketika itu, tiba2 aku terlihat seekor babi hutan yang datang dari arah kanan jalan berlari melintas betul2 di hadapan kereta. Aku yang ketika itu terkejut hanya sempat membrekkan kereta tanpa sempat mengelak sebelum merempuhnya dan binatang itu tercampak ke sebelah kiri jalan. Ummi, abang, dan anak saudaraku yang sedang tidur semua terkejut dan dengan terketar2 aku memberitahu mereka yang aku telah merempuh seekor babi yang agak besar. Kerana takut dengan keadaan jalan yang sunyi dan merasakan kereta hanya mengalami kerosakan kecil, aku meneruskan pemanduan tanpa keluar untuk memeriksa kereta yang pada hakikatnya rosak teruk akibat pelanggaran tadi.

Selepas memandu hampir 30 minit dari tempat kejadian, aku merasakan bahagian bawah iaitu di bahagian kaki terasa hangat. Aku bertanya kepada abangku kenapa rasa panas semacam dan pada saat itu juga aku terfikir pasal pelanggaran tadi dan terus melihat pada meter 'temperature' yang naik secara mendadak. Abang menyuruhku menghentikan kereta dan bila kereta dimatikan asap berkepul2 keluar dari bonet depan. Allahuakbar hanya Allah saja yang tahu perasaan aku pada ketika itu. Abang keluar untuk memeriksa keadaan kereta dan perkataan yang terkeluar dari mulutnya ketika itu adalah Hancur!! Mendengar perkataan itu serta merta hati ini terasa luluh kerana faham betapa sedihnya abang kerana keretanya yang tidak sampai setahun umurnya sekelip mata hilang rupa asalnya. Apa yang boleh aku katakan saat itu hanya maaf walaupun kutahu itu semua adalah kehendak Allah Taala. Maaf kerana telah menyusahkannya dan menambahkan lagi beban yang terpaksa ditanggung olehnya. Hanya satu yang kupohon agar Allah permudahkan segala urusannya dan moga Allah menggantikan kerugian yang dialami olehnya dengan sesuatu yang mengembirakan.

Bayangkan pada saat itu, keadaan jalan yang gelap dan sunyi dan kami tidak tahu pada siapa kami ingin minta bantuan. Agak malang bagi kami kerana lebuhraya itu belum sepenuhnya siap dan kami pun tidak pasti samada peronda ada ataupun tidak. Abangku menelefon abah untuk mengkhabarkan apa yang telah berlaku dan meminta agar abah datang ke sini. Abang sempat juga menelefon agen insurans untuk bertanyakan samada bantuan dapat dihulurkan atau tidak. Dan hampa sekali jawapannya. Perkhidmatan tunda hanya dapat dihubungi pada jam 8 pagi dan waktu ketika itu adalah 5.30 pagi. Berapa lama harus kami tunggu dengan anak saudaraku yang baru berusia 2 tahun dan sudah tentu tidak selesa baginya. Tapi Alhamdulillah anak saudaraku ini seolah2 mengerti suasana ketika itu. Dia dapat minum susu yang dibancuh dengan air sejuk dan dapat tidur dengan lena sekali. Tidak berapa lama kemudian, aku melihat ada kenderaan menghampiri kereta kami dan ternyata Allah telah mempermudahkan urusan kami kerana kenderaan tersebut adalah kereta peronda. Peronda2 ini telah banyak membantu kami dari segi menenangkan keadaan kami yang masih terkejut dan membantu abangku untuk mendapatkan penunda. Satu perkara yang dipelajari olehku dari mereka iaitu jika kita terlibat dalam kemalangan berhentilah di kawasan tersebut dan menunggu peronda datang supaya mereka dapat mengambil gambar sebagai bukti kita terlibat dalam kemalangan di tempat tersebut. Bukti ini penting untuk 'claim' insurans kereta kita.

Disebabkan pengalaman ini pengalaman pertamaku, banyak benda yang telah aku pelajari iaitu apakah perkara yang harus kita lakukan jika kita terbabit dalam kemalangan. Pertama sekali, berhenti di kawasan kemalangan serta ambil gambar kereta kita yang rosak dan apa yang kita langgar atau apa yang berlanggar dengan kereta kita. Kedua, telefon agen insurans kereta kita seperti Takaful Etika dan minta agar dihantar kereta tunda untuk menunda kereta kita. Bukan menghubungi penunda yang hanya mementingkan keuntungan sendiri. Ketiga, membuat laporan polis di balai polis berhampiran. Keempat, barulah kereta kita dibawa ke bengkel.

Seperti yang dialami oleh abangku yang terdesak untuk mendapatkan bantuan penunda sehingga lupa bahawa agen insuransnya yang akan membantu dari segi mendapatkan kereta tunda hingga keretanya selamat dibawa ke bengkel yang sepatutnya. Tapi mujurlah abangku tidak termakan kata2 si penunda yang bersungguh2 untuk membawa kereta abangku ke bengkelnya dengan alasan abangku harus mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak polis yang mana pihak polis ini sudah dirasuah dengan entah berapa ratus ringgit oleh si penunda ini. Patut la sebelum abangku masuk ke balai untuk membuat 'report', aku terpandang aksi si penunda ini mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM dan aksi pegawai2 polis yang agak ceria dengan kehadiran si penunda ini. Agak lama juga abangku mencari alasan untuk mematahkan helah si penunda ini. Lagak dan bicaranya mampu untuk menghasut abangku agar memilih perkhidmatannya. Dengan bayaran RM500 si penunda ini akhirnya akur mengundur diri. Abangku pula mengikuti agen insuransnya ke Kuantan untuk dibawa keretanya ke bengkel dan kemudian terus ke KL manakala aku, ummi, dan anak saudaraku dibawa pulang ke kelantan oleh abahku.

Sekarang ini, bila terpandang wajah anak saudaraku, aku teringatkan abangku yang mungkin masih lagi bersedih dengan apa yang telah berlaku. Apa yang boleh aku lakukan untuk mengembirakan hati abangku adalah menjaga dan membelai anaknya dengan baik dan penuh kasih sayang. Dan dengan berbuat sedemikian hati ini diharapkan kembali tenang dan tidak menyalahkan diri sendiri setelah apa yang telah berlaku. Walau apa pun yang berlaku aku tetap bersyukur kerana kami semua selamat dan doaku agar kami sekeluarga sentiasa dilindungi oleh Allah dari bala bencana walau di mana saja kami berada. Aminn Ya Robbal 'Alaminn..

“Dan mereka merancang, Allah juga merancang, Dan Allah sebaik-baik Perancang” (Surah Ali-Imran: Ayat 54)

-Keadaan kereta yang rosak teruk akibat pelanggaran tersebut-

Ahad, 8 Januari 2012

Temuduga

Bimillahirrahmanirrahim..

Hari ini tercatat dalam buku sejarah hidup aku buat pertama kalinya menghadiri temuduga untuk bekerja. Jawatan yang aku pohon adalah guru KAFA. Walaupun tak berkait langsung dengan degree yang aku ambik iaitu bioteknologi sekurang2nya tak adalah masaku terbuang begitu saja. Hari2 menunggu panggilan telefon daripada seorang doktor di USM yang berjanji akan menelefonku sejurus penyelidikannya bermula. Dan boleh dikatakan hari2 jugaklah aku menghantar resume ke email majikan2 yang mengiklankan jawatan kosong. Hasilnya, tiada satu pun yang merespon. Disebabkan sekarang susah nak dapatkan kerja, aku dengan ini mengambil keputusan untuk memohon dan menerima apa jua pekerjaan selagi ianya datang dari rezeki yang halal serta pekerjaan tersebut tidak melalaikan aku dari mengingati Penciptaku. Walaupun aku ni taklah sehebat mana untuk mengajar tapi disebabkan ini adalah salah satu sunnah nabi kita Muhammad S.A.W serta dapat menjadi bekal untukku di akhirat kelak bila ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan, disamping dapat membaiki diri ke arah yang lebih baik..insyaAllah mudah-mudahan diizin olehNya.

Ingin kukongsi sedikit pengalaman diri ini semasa ditemuduga pagi tadi. Temuduga tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi tapi aku sampai kat sana dalam pukul 9.00 pagi (ada sebab kenapa lambat..hu3). Masa sampai tu dah ada 2 orang yang sedang menjawab soalan bertulis. Semasa menunggu penemuduga mengambil soalan sempat lagi aku menoleh kat kertas member yang tengah menjawab tu. Berdengup kencang gak la hati ni tengok soalan yang tengah dia jawab tu adalah dalam bahasa arab. Dalam hati: matilah aku kali ni.dah lama aku xstudy arab ni.boleh ke aku jawab ni.alamak kosong la tempat jawapan tu..hu3. Tapi Alhamdulillah dengan kuasa Allah aku dapat jawab semua soalan walaupun ada yang tak berapa konfem jawapannya.

Selesai jawab soalan bertulis, aku dipanggil untuk ditemuduga. Mujurlah penemuduga (ustaz) aku adalah seorang yang baik dan aku rasa agak selesa sebab orangnya berumur.Pertama sekali beliau bertanya: dulu belajar dekat mana. Habis semua aku cerita dari sekolah rendah sampai ke universiti. Disebabkan beliau sibuk menanda kertas jawapan aku tadi, beliau agak lambat untuk merespon. Jadi aku pun mula la sambung bercerita pasal pelajaran sampai la kenapa aku mintak jadi guru kafa walaupun tak ditanya. Seterusnya, beliau memulakan pertanyaan berkaitan dengan tajwid tentang hukum lima dan jenis mad. Nasib baiklah betul walau ada jugak sipi2 nak terkeluar topik. Kemudian aku disuruh untuk membaca surah As-sajadah. Selesai membaca, berikut adalah perbualan kami:

Ustaz: apakah nama surah ini?
Aku : surah as-sajadah
Ustaz: untuk apa surah ini dibaca?
Aku : Maksud ustaz?
Ustaz: Macam untuk apa surah ini selalu diamalkan. Contohnya, untuk tujuan perubatan ke? untuk tujuan halau hantu ke?hah untuk apa sebenarnya?
Aku : (Berfikir sejenak..)Hurm..untuk halau hantu kot..he3..tapi kalau nak halau hantu baca mana2 ayat dalam al-quran pun konfem hantu lari..
Ustaz: (Tergelak besar)
Aku : Hurm..selalunya surah ini dibaca semasa solat subuh pada hari jumaat kerana di dalamnya terdapat sujud sajadah.
Ustaz: Ha..yang ni baru betul.yang ni la saya nak dengar.bukan buat halau hantu..he3.

Ada banyak lagi yang ditanya dalam bahagian Al-quran ni. Boleh dikatakan dekat satu jam la jugak interview ni.orang lain yang ditemuduga oleh seorang lagi ustaz dah lama dah balik.tinggal aku sorang je kat situ. Ingatkan lepas bahagian Al-quran dah boleh balik. Rupa2nya ada lagi soalan iaitu berkisar tentang pengetahuan am dan ikhtisas. Soalan tentang bila malaysia merdeka?sebutkan secara heirarki nama2 perdana menteri malaysia dari yang pertama sehingga sekarang?apakah nama menteri pelajaran malaysia?apakah nama menteri besar kelantan?apakah nama sultan kelantan serta gelarannya? Alhamdulillah..mujurlah dapat jawab semua. Kalau tak malu terutama sekali kalau tak boleh jawab yang part nama menteri besar dan nama sultan. Malu ambo sebagai rakyat kelate kalu tok leh jawab.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat aku kongsikan. Sebelum melangkah keluar aku sempat bertanya samada aku layak atau tidak dan beliau mengangguk serta tersenyum. Alhamdulillah..lega rasanya Allah saja yang tahu.

Sabda Rasulullah S.A.W: Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-quran dan mengajarkannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Selasa, 3 Januari 2012

Muhasabah diri

Assalamualaikum w.b.t..

Lagu Antara Dua Cinta didendangkan oleh Raihan dan Jika Terakhir Buatku oleh Saujana.Sama2 kita berhibur sambil bermuhasabah di malam hari..:)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...