Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih memberi kesempatan kepadaku untuk bernafas di atas muka bumi ini. Segala puji dan syukur kurafa'kan kepadaMu kerana memberi kekuatan pada diri ini untuk berkongsi pengalamanku yang paling pahit yang kukira pernah dialami olehku. Walaupun terasa berat lagi hati ini untuk bercerita dan masih perit lagi bagiku untuk mengingati kembali satu persatu kronologi peristiwa yang berlaku pada dinihari 14 Januari 2012. Seolah2 telah diatur rapi oleh Yang Maha Kuasa, aku sebagai hambaNya pasrah dan redha dengan apa yang berlaku.
Hari Selasa yang lepas aku dan ummi bertolak ke Johor untuk melawat anak buahku yang demam. Pada permulaannya aku menolak ajakan ummi untuk ke sana kerana entah mengapa hati aku terasa berat sangat seakan2 dapat meramal ada perkara yang buruk bakal berlaku. Tapi disebabkan desakan ummi dan abah, aku terpaksa akur. Selama 4 hari aku di sana, anak buahku kelihatan semakin aktif dan demamnya semakin kebah. Pada tengahari Jumaat itu, abangku tiba2 mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama2 pada malam itu juga kerana minggu depan (minggu ini) dia harus ke KL atas urusan kerja dan anaknya terpaksa ditinggalkan di kampung. Malam itu juga selepas solat isya' kami bertolak dari sana ke kelantan. Dalam perjalanan ummi menemani abangku bersembang untuk menghilangkan rasa mengantuk dan penat abangku yang memandu kereta. Dan aku sempat melelapkan mata sehinggalah tiba di Muadzam Shah, Pahang.
Abangku yang dari tadi berperang dengan perasaan mengantuk akhirnya tumpas jua. Dek kerana perjalanan kami masih jauh dan dengan keadaan abangku yang separuh sedar, aku menawarkan diri untuk memandu walaupun pada mulanya aku agak keberatan. Aku memulakan perjalanan dari Gambang menuju ke Kuantan. Disebabkan malas untuk mengejutkan abangku yang sedang nyenyak tidur di belakang, aku mengambil keputusan untuk mengikuti jalan yang selalu dilalui oleh abahku iaitu jalan ke Bukit Besi. Pada masa itu, aku langsung tidak terfikir yang jalan itu hanya dilalui pada sebelah siang dan tidak menjadi pilihan pada waktu malam kerana jalan2nya gelap, dikelilingi kelapa sawit, dan yang paling teruk adalah jalannya yang banyak lubang. Bagaikan mimpi ngeri bagiku kerana terpaksa memandu dengan perlahan (dengan hadlaju 60 -80km/j) untuk mengelak lubang2 yang besar dan dalam serta dalam keadaan yang gelap gelita tanpa lampu jalan yang ada hanyalah lampu kereta. Ummiku tidak berhenti2 berzikir untuk mengingatkan aku pada Yang Maha Agung agar dijauhi dari perkara yang tidak diingini.
Alhamdulillah selepas hampir 2 jam (2.30pg -4.30pg) melalui jalan yang menyeramkan itu, kami sampai juga di Bukit Besi, Terengganu. Dari sana aku mengambil jalan ke Kuala Berang melalui Lebuhraya Pantai Timur yang belum siap sepenuhnya tapi selalu digunakan oleh abahku semasa balik dari Johor atau Kuantan. Lebuhraya itu pada permulaan masuknya agak cerah disimbah lampu jalan namun selepas melepasi beberapa kilometer, keadaan kembali gelap ditambah pula dengan hujan renyai2. Bagai sudah diatur olehNya, ummiku tadi yang tidak putus2 berzikir akhirnya terlelap dan aku pula tiba2 rasa mengantuk. Untuk mengelakkan dari terlelap aku memecut agak laju sedikit dalam 100 km/j-110 km/j yang pada awalnya hadlaju kereta hanyalah 90km/j kerana untuk laju lagi aku tak berapa berani disebabkan keadaan jalan yang basah dan gelap. Dalam keadaan jalan yang gelap ketika itu, tiba2 aku terlihat seekor babi hutan yang datang dari arah kanan jalan berlari melintas betul2 di hadapan kereta. Aku yang ketika itu terkejut hanya sempat membrekkan kereta tanpa sempat mengelak sebelum merempuhnya dan binatang itu tercampak ke sebelah kiri jalan. Ummi, abang, dan anak saudaraku yang sedang tidur semua terkejut dan dengan terketar2 aku memberitahu mereka yang aku telah merempuh seekor babi yang agak besar. Kerana takut dengan keadaan jalan yang sunyi dan merasakan kereta hanya mengalami kerosakan kecil, aku meneruskan pemanduan tanpa keluar untuk memeriksa kereta yang pada hakikatnya rosak teruk akibat pelanggaran tadi.
Selepas memandu hampir 30 minit dari tempat kejadian, aku merasakan bahagian bawah iaitu di bahagian kaki terasa hangat. Aku bertanya kepada abangku kenapa rasa panas semacam dan pada saat itu juga aku terfikir pasal pelanggaran tadi dan terus melihat pada meter 'temperature' yang naik secara mendadak. Abang menyuruhku menghentikan kereta dan bila kereta dimatikan asap berkepul2 keluar dari bonet depan. Allahuakbar hanya Allah saja yang tahu perasaan aku pada ketika itu. Abang keluar untuk memeriksa keadaan kereta dan perkataan yang terkeluar dari mulutnya ketika itu adalah Hancur!! Mendengar perkataan itu serta merta hati ini terasa luluh kerana faham betapa sedihnya abang kerana keretanya yang tidak sampai setahun umurnya sekelip mata hilang rupa asalnya. Apa yang boleh aku katakan saat itu hanya maaf walaupun kutahu itu semua adalah kehendak Allah Taala. Maaf kerana telah menyusahkannya dan menambahkan lagi beban yang terpaksa ditanggung olehnya. Hanya satu yang kupohon agar Allah permudahkan segala urusannya dan moga Allah menggantikan kerugian yang dialami olehnya dengan sesuatu yang mengembirakan.
Bayangkan pada saat itu, keadaan jalan yang gelap dan sunyi dan kami tidak tahu pada siapa kami ingin minta bantuan. Agak malang bagi kami kerana lebuhraya itu belum sepenuhnya siap dan kami pun tidak pasti samada peronda ada ataupun tidak. Abangku menelefon abah untuk mengkhabarkan apa yang telah berlaku dan meminta agar abah datang ke sini. Abang sempat juga menelefon agen insurans untuk bertanyakan samada bantuan dapat dihulurkan atau tidak. Dan hampa sekali jawapannya. Perkhidmatan tunda hanya dapat dihubungi pada jam 8 pagi dan waktu ketika itu adalah 5.30 pagi. Berapa lama harus kami tunggu dengan anak saudaraku yang baru berusia 2 tahun dan sudah tentu tidak selesa baginya. Tapi Alhamdulillah anak saudaraku ini seolah2 mengerti suasana ketika itu. Dia dapat minum susu yang dibancuh dengan air sejuk dan dapat tidur dengan lena sekali. Tidak berapa lama kemudian, aku melihat ada kenderaan menghampiri kereta kami dan ternyata Allah telah mempermudahkan urusan kami kerana kenderaan tersebut adalah kereta peronda. Peronda2 ini telah banyak membantu kami dari segi menenangkan keadaan kami yang masih terkejut dan membantu abangku untuk mendapatkan penunda. Satu perkara yang dipelajari olehku dari mereka iaitu jika kita terlibat dalam kemalangan berhentilah di kawasan tersebut dan menunggu peronda datang supaya mereka dapat mengambil gambar sebagai bukti kita terlibat dalam kemalangan di tempat tersebut. Bukti ini penting untuk 'claim' insurans kereta kita.
Disebabkan pengalaman ini pengalaman pertamaku, banyak benda yang telah aku pelajari iaitu apakah perkara yang harus kita lakukan jika kita terbabit dalam kemalangan. Pertama sekali, berhenti di kawasan kemalangan serta ambil gambar kereta kita yang rosak dan apa yang kita langgar atau apa yang berlanggar dengan kereta kita. Kedua, telefon agen insurans kereta kita seperti Takaful Etika dan minta agar dihantar kereta tunda untuk menunda kereta kita. Bukan menghubungi penunda yang hanya mementingkan keuntungan sendiri. Ketiga, membuat laporan polis di balai polis berhampiran. Keempat, barulah kereta kita dibawa ke bengkel.
Seperti yang dialami oleh abangku yang terdesak untuk mendapatkan bantuan penunda sehingga lupa bahawa agen insuransnya yang akan membantu dari segi mendapatkan kereta tunda hingga keretanya selamat dibawa ke bengkel yang sepatutnya. Tapi mujurlah abangku tidak termakan kata2 si penunda yang bersungguh2 untuk membawa kereta abangku ke bengkelnya dengan alasan abangku harus mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak polis yang mana pihak polis ini sudah dirasuah dengan entah berapa ratus ringgit oleh si penunda ini. Patut la sebelum abangku masuk ke balai untuk membuat 'report', aku terpandang aksi si penunda ini mengeluarkan sejumlah wang dari mesin ATM dan aksi pegawai2 polis yang agak ceria dengan kehadiran si penunda ini. Agak lama juga abangku mencari alasan untuk mematahkan helah si penunda ini. Lagak dan bicaranya mampu untuk menghasut abangku agar memilih perkhidmatannya. Dengan bayaran RM500 si penunda ini akhirnya akur mengundur diri. Abangku pula mengikuti agen insuransnya ke Kuantan untuk dibawa keretanya ke bengkel dan kemudian terus ke KL manakala aku, ummi, dan anak saudaraku dibawa pulang ke kelantan oleh abahku.
Sekarang ini, bila terpandang wajah anak saudaraku, aku teringatkan abangku yang mungkin masih lagi bersedih dengan apa yang telah berlaku. Apa yang boleh aku lakukan untuk mengembirakan hati abangku adalah menjaga dan membelai anaknya dengan baik dan penuh kasih sayang. Dan dengan berbuat sedemikian hati ini diharapkan kembali tenang dan tidak menyalahkan diri sendiri setelah apa yang telah berlaku. Walau apa pun yang berlaku aku tetap bersyukur kerana kami semua selamat dan doaku agar kami sekeluarga sentiasa dilindungi oleh Allah dari bala bencana walau di mana saja kami berada. Aminn Ya Robbal 'Alaminn..
“Dan mereka merancang, Allah juga merancang, Dan Allah sebaik-baik Perancang” (Surah Ali-Imran: Ayat 54)
-Keadaan kereta yang rosak teruk akibat pelanggaran tersebut-
2 ulasan:
Setiap sesuatu itu ada hikmahnya! Bersyukurlah kita kerana dipanjangkan umur lagi olehNya
yup..mungkin diri ini leka mengingatNya sehingga diberi peringatan olehNya..
Catat Ulasan