Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah..sudah 3 bulan lebih aku mengajar kelas KAFA. Memang mencabar menjadi seorang pendidik. Pada permulaannya agak sukar untuk aku menyesuaikan diri dengan suasana baru iaitu daripada seorang pelajar kemudian menjadi seorang pengajar. Tambahan pula aku memegang ijazah bioteknologi dan bukannya pengajian islam. Tapi bagi aku walaupun tanpa ijazah pengajian islam, sebagai seorang muslim tanggungjawab menuntut ilmu, mengamalkannya dan menyebarkannya terutama ilmu akhirat adalah wajib tidak kira apa sekalipun latar belakang kita. Jangan jadikan alasan tidak mempunyai latar belakang pengajian islam untuk kita menolak ketepi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Bagi aku setiap muslim adalah ustaz atau ustazah. Mengajak orang untuk berbuat baik dan mengajak mereka untuk meninggalkan perkara2 buruk sesuai dengan Firman Allah S.W.T.:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran: Ayat 110)
Nabi pun ada berpesan kepada kita "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat". Jelas di sini bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab. Tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang kita tahu daripada pembacaan, kuliah ataupun ceramah daripada ustaz2 ataupun ustazah2 tentang Al-quran dan As-sunnah kepada sesiapa sahaja terutama kepada adik2 yang masih baru dalam menimba ilmu agama. Mereka ini perlu diasuh dari kecil belajar dan kenal ilmu agama terutama ilmu Fardhu Ain yang merupakan kewajipan kepada setiap muslim. Kerana mereka inilah perintis masa depan. Macam manalah keadaan umat pada masa depan kalau yang muda sekarang ini tidak solat sebab tidak pandai. Baru2 ini keluar dalam akhbar tentang beberapa murid sekolah di ibu kota tidak tahu mengucap syahadah. Agak sedih sekali mendengar berita ini dan masing2 menunding jari menyalahkan pelbagai pihak. Bagi aku, daripada menyalahkan orang lain lebih baik refleksi diri kita sendiri. Kalau diri sendiri sedar tanggungjawab sebagai seorang muslim insyaAllah perkara ini tidak akan berlaku.
Apabila melihat murid2 solat berjemaah ketika amali solat di sekolah, terdetik di hati bagaimana keadaan mereka bila besar nanti. Adakah mereka dapat melakukan seperti apa yang mereka lakukan pada hari ini. Adakah mereka sentiasa ingat apa yang diajar ustaz dan ustazah di sekolah. Memikirkan keadaan ini hati rasa gusar sekali. Takut2 suatu hari nanti mereka dipengaruhi oleh anasir2 yang akhirnya memakan diri sendiri hingga lupa pada asal usul mereka. Ya Allah..semoga Engkau sentiasa melindungi mereka dari fitnah dunia ini..Aminn
Sedih juga bila memikirkan realiti umat Islam sekarang. Di mana silapnya sehingga ramai yang tergelincir dari jalan yang lurus. Pada siapa ianya harus dipersalahkan. Guru?Ibu bapa?Pihak kerajaan?Atau individu itu sendiri? Inilah yang membimbangkan Rasulullah S.A.W. terhadap umatnya di akhir zaman. Sehingga di saat2 akhir hidup baginda, baginda seolah2 tidak tenang jika tidak mendapat jaminan daripada Allah S.W.T. tentang nasib umatnya di akhirat kelak. Allahuakbar..Sungguh tulus kasihmu duhai kekasih Allah terhadap kami. Betapa beruntungnya kita mendapat seorang nabi yang sangat cintakan umatnya sehinggakan nabi Isa sendiri berharap agar beliau dapat menjadi salah seorang umat Muhammad yang mendapat pelbagai keistimewaan daripada Allah. Kalaulah kita semua sedar betapa istimewanya kita sudah tentu kita mahu membalas kasih yang nabi berikan kepada kita. Dengan cara yang bagaimana? Seperti yang telah baginda wariskan kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, sudah cukup jika kita dapat berpegang dan mengamalkan kedua-dua ini.
"Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku." Hadis riwayat Imam Malik
Saham yang paling menguntungkan adalah ilmu yang bermanfaat. Ilmu ini dituntut, diamal, dan disebarkan untuk tujuan kebaikan. Bila ilmu ini digunakan oleh orang lain, maka kita juga akan memperoleh pahala. Itulah yang aku pegang sekarang ini. Diharapkan ilmu yang aku curahkan dapat dimanfaatkan dan menjadi saham yang menguntungkan untukku sewaktu di akhirat kelak. Aku juga cuba untuk ikhlas dalam bekerja. Mengikut pengalaman aku selama beberapa bulan ini, kerja yang dilakukan olehku menjadi suatu keseronokkan apabila kerja ini dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah Taala. Aku bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh seorang guru dalam akhbar sempena Hari Guru pada 16 Mei yang lalu bahawa kerja sebagai guru bukan sekadar kerjaya tapi sebaliknya kerja sebagai guru adalah lebih kepada panggilan. Panggilan atau seruan untuk mendidik dengan seikhlas hati dan tidak mengharapkan apa2 balasan. Jika hati ini ikhlas mendidik, barulah hati ini seronok dengan kerja yang kita lakukan. Agaknya inilah apa yang aku cari selama ini. Tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pendidik tapi apabila merasai sendiri pengalaman barulah diri ini tahu apa yang menariknya menjadi seorang guru.
Kepada guru di luar sana, tidak terlewat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Guru. Jasa kalian hanya Allah Taala sahaja yang dapat membalasnya. Teruskan niat anda yang ikhlas untuk mendidik anak bangsa. Terima kasih Guru!!
p/s: Gembira dapat bekerjasama dengan guru2ku sewaktu sekolah rendah dulu.
~First time dapat present daripada my student. Terharu sangat2. Tak sangka dapat hadiah walaupun baru beberapa bulan mengajar~
0 ulasan:
Catat Ulasan