Assalamualaikum w.b.t
|
Pemadangan dari atas Jeddah, Saudi. |
Agak lama sebenarnya tidak menaip entri untuk blog ini. Rindu sebenarnya. Alhamdulillah banyak sungguh nikmat yang Allah berikan tanpa disangka2. Sungguh Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Walaupun hati ini berkata tak mungkin Allah nak beri sedangkan aku tak punya apa2 untuk dapatkan apa yang aku mahu. Tapi perancangan Allah siapa yang menyangka. Alhamdulillah aku telah diizinkan buat kali keduanya menjadi tetamu Allah di Tanah Suci yang menjadi idaman setiap muslim sejati. Tanggal 7 Julai 2015 aku bertolak ke Jeddah bersama2 ahli keluargaku seramai 7 orang termasuk aku. Memang tak disangka hasrat ibu bapaku hanya ingin membawa adik-adikku 3 orang sahaja tetapi entah bagaimana perancangan Allah yang cukup sempurna telah mengabulkan permintaanku untuk bersama2 adik-beradik yang lain untuk melakukan ibadah umrah. Amat benar janji Allah. "Berdoalah kepadaKu nescaya akan kuperkenankan bagimu"(Surah AL-Mukmin;Ayat 60). Doaku di depan Kaabah tahun 2011 pada umrah pertamaku untuk datang bersama2 keluargaku diperkenankan Allah dengan begitu cepat. Cerita ini bukan untuk kubangga2kan kerna setiap daripada kita punya cerita hebat belaka. Mungkin kita rasa apa yang ada pada orang lain itu lagi hebat tapi percayalah jika kita bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan rasa cerita kita lebih hebat daripada orang lain. Kerna Allah tak pernah menyia2kan hambaNya yang bersyukur.
|
Last minute dapat visa. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. |
Cerita-cerita Menarik di Tanah Haram Madinah & Mekah (07072015-19072015)
Setibanya di Jeddah, aku rasakan seolah2 bermimpi berada ditempat yang sama suatu ketika dulu. Kupejam mata dan cuba mengenangkan masa yang pernah kulalui sebelum ini di tempat tersebut. Sungguh syahdu. Sampai di sempadan Tanah Haram Madinah, air mataku bercucuran tak mampu untuk kubendung betapa rindu yang teramat pada tanah suci tempat jasad Nabi Muhammad S.A.W. bersemayam. Tak sabar rasa hati ingin 'bertemu' junjungan besar Muhammad S.A.W. Aku ingin menyampaikan salam dan ingin saja beritahu aku datang menemuimu buat kesekian kalinya. Syukur bila mana dapat melihat dari jarak jauh Masjidi Nabawi. Alhamdulillah kali ini aku dapat menginap di hotel (Mubarak Silver Hotel) yang berjarak 100M agak dekat dengan pintu masuk ke tempat solat muslimah. Pintu 25. Pagi keesokkannya aku berhajat ingin memasuki raudhah bersama ummi dan adik2ku. Alhamdulillah, walaupun tidak ada membantu untuk tunjukkan cara tapi Allah sediakan pembantu untuk kami. Sedang beriktikaf di dalam masjid, kami terdengar panggilan Instructor daripada orang Indonesia memanggil2 untuk berkumpul sebelum masuk ke raudhah. Peluang ini langsung kami ambil. Disebabkan jemaah yang terlalu ramai, kami dapat memasuki raudhah pada jam 9 pagi selepas menunggu sejak jam 6 lagi. Raudhah kali ini sama juga seperti yang lalu sesak dengan ramai jemaah. Terpaksa berhimpit untuk masuk tapi syukur ada jemaah Indonesia yang sudi membantu kami untuk membuat 'pagar' sementara kami solat. Ini pengalaman terbaru bagi adik2ku. Tapi aku sudah menjangka ini semua akan berlaku dan peringatan awal sudah kuberikan pada mereka.
|
Sekotak kurma dan makanan2 yang bakal diagihkan berhampiran dengan tiang besar Masjidi Nabawi. |
|
Penuh peti ais dengan makanan sedekah. |
Kami berbuka puasa di Masjidi Nabawi. Kebetulan kami tidak tahu menahu bahawa setiap tiang di dalam masjid akan ada dermawan yang menyedekahkan makanan. Tiga malam berturut2 kami berbuka puasa berhampiran tiang2 besar dalam masjid dan tiap kali berbuka puasa kami diberi sejumlah roti, kurma dan yogurt yang tak mampu kami habiskan. Bila habis ditambahnya lagi dan kami tidak mampu untuk menolak kerana mereka ingin menghabiskan makanan yang ada. Sehinggakan penuh peti ais kami diisi dengan yogurt dan makanan. Ada yang kami sempat sedekahkan dan ada yang kami hanya mampu tinggalkan dalam peti sejuk di hotel selepas checkout untuk ke Mekah dengan hasrat untuk sedekahkan kepada janitor2 hotel. Malam yang keempat kami beralih di saf yang jauh daripada tiang dan ternyata hanya separuh roti dan 1 bekas yogurt saja yang kami dapat. Rupa-rupanya sebelum ini kami duduk 'berjiran' dengan orang kaya dan dermawan di Madinah. Mereka nampak biasa berjubah hitam dan berniqab hitam tapi siapa yang sangka disebalik pakaian itu ada handbag LV dan gelang emas yang bertatahkan berlian menghiasi lengan mereka. Sungguh membuatkan aku teruja melihat mereka. Siapa kata mereka ini tidak pandai bergaya dan mundur dari segi berfesyen? Dalam Masjidi Nabawi, wanita2 Arab yang biasanya memakai niqab dan berjubah hitam akan menanggalkan niqab mereka dan membiarkan jubah mereka terbuka hingga menampakkan gelang2 emas yang mereka pakai. Disebabkan itu, pihak berkuasa Masjidi Nabawi melarang jemaah wanita mengambil gambar dan video di dalam masjid dikhuatiri akan terambil gambar yang menampakkan aurat para jemaah. Beg diperiksa satu persatu di pintu masuk bahagian Muslimat untuk memastikan kamera tidak dibawa masuk. Bagi aku untuk melepasi pemeriksaan mereka, aku sembunyikan beg sandang ke belakang dalam kain telekungku. Masuk cepat2 masa mereka tengah sibuk check beg jemaah lain. Tapi kalau mereka tengah aim kita dari jauh kita terpaksa buka beg cepat2 supaya kita tidak dimarahi. Aku lari dari mereka bukan sebab bawa kamera tetapi disebabkan malas untuk membuka zip beg satu persatu.
|
Antara roti, yogurt yang kami dapat sebelum berbuka. Selepas berbuka dapat lagi. |
Berbuka puasa di Masjidi Nabawi sangat mewah berbanding dengan Masjidil Haram. Walaupun begitu, satu contoh yang dapat diambil daripada orang Arab ini walaupun mereka ini bersifat kasar tapi dalam bab menderma dan bersedekah merekalah yang mendahului walaupun hanya dengan sehelai tisu atau sebiji tamar atau segelas air zamzam. Mereka tidak malu untuk bersedekah dengan sekecil2 perkara. Inilah hasil ajaran nabi Muhammad S.A.W. Anak-anak orang Arab ini didik dari kecil lagi untuk bersedekah. Hari keempat berbuka puasa di Masjidi Nabawi, aku duduk berhampiran seorang wanita arab dan dua orang anaknya perempuan yang berusia sekitar 7 dan 8 tahun. Di hadapanku ada seorang wanita Indonesia dan seorang anaknya lelaki. Semasa menunggu masuk waktu berbuka ada seorang gadis arab mengagihkan gula2 kepada dua orang budak perempuan tersebut dan terlepas pandang untuk memberikannya kepada budak lelaki Indonesia itu. Budak lelaki itu melihat gula2 yang dipegang oleh budak2 perempuan arab seolah-olah mahukan gula2 tersebut. Secara serentak kedua2 budak perempuan itu menghulurkan gula2 masing2 kepada budak laki2 itu. Sangat tersentuh melihat saat itu. Sungguh mulia hati mereka walaupun mereka masih kanak2.
|
Ziarah wada' - Ucapan salam selamat tinggal kepada baginda diiringi dengan doa sebelum berangkat ke Mekah. |
Berpuasa di Tanah Suci yang suhunya mencecah 50 darjah celsius amat mencabar. Ini pengalaman kedua aku berpuasa di sana. Air untuk mandi sudah seperti air panas yang sesuai untuk melarutkan kopi dan gula untuk diminum. Itulah antara dugaan yang terpaksa ditempuh. Aku terlupa untuk membawa krim muka dan kesilapan aku menyapu bam yang disangka krim muka membuatkan mukaku mengelupas dan luka. Sakit,pedih dan malu sebenarnya untuk berdepan dengan muka yang agak tidak selesa dipandang. Tapi Allah itu Maha Mendengar lebih2 lagi ketika berada di tanah suci yang mana ianya tempat mustajab doa. Doaku untuk mukaku kembali seperti biasa dimakbulkan oleh Allah sehari sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Aku dapat rasakan yang sebenarnya Allah sedang menguji aku. Menitis air mata mengenangkan dosa2 yang lalu. Banyak noda yang telah aku lakukan sepanjang hayatku ini. Dapat aku rasakan yang sakit yang ditanggungku adalah asbab Allah nak hapuskan dosa2ku. Alhamdulillah, bila aku sedar ini adalah cara Allah nak hapuskan dosa2ku aku bertambah redha dan seketika itu Allah hadirkan penawar dan menghilangkan rasa sakit itu perlahan-lahan.
|
Berpakaian ihram. Bergambar di depan hotel sebelum bertolak ke Mekah. |
Selepas 5 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah dengan berpakaian ihram bertelekung dan berjubah putih untuk mengambil pahala sunnah. Dalam perjalanan, kami singgah di miqat, Masjid Dzul Hulaifah atau nama lainnya Bir Ali untuk berniat ihram sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Haram Mekah. 5 jam perjalanan tidak terasa kerana jalannya yang luas dan lurus tanpa tol dan pemandangan padang pasir yang diselang seli dengan kehadiran unta2 yang mengingatkan kembali akan sirah penghijrahan nabi Muhammad S.A.W. dari Mekah ke Madinah melalui padang pasir yang tandus tiada pokok2 hijau yang rendang menghiasi dengan keadaan panas terik. Kami bertalbiah bersama2 dengan diketuai laungannya oleh Mutawwif yang amat menyentuh jiwa. Sungguh hati ini tidak sabar untuk melihat Kaabah di depan mata. Rindu tidak dapat dibendung. Masih teringat harum baunya tatkala mendekati Kaabah ketika bertawaf. Kami sampai di hotel sebelum waktu Asar. Kami bernasib baik. Hampir2 saja bas kami disekat untuk masuk menghampiri hotel disebabkan jalan terpaksa ditutup untuk memberi laluan jemaah berjalan kaki ke Masjidil Haram dan di jalan tersebut juga jemaah membina sof solat. Bayangkan betapa ramainya jemaah sehingga dari jarak 700M diluar masjid, jalan2 penuh dengan jemaah untuk solat. Kami check in ke Hotel Hera dan diberi taklimat oleh Mutawwif yang bertugas di hotel tersebut. Kami diberi pilihan untuk terus melakukan umrah atau untuk menunggu selepas isya. Pada permulaannya ramai yang ingin terus melakukan umrah disebabkan tidak mahu berada lama dalam pantang-larang ihram. Tapi selepas ustaz menceritakan ada seorang jemaah wanita dari kumpulan lain jatuh pengsan ketika tawaf dalam keadaan cuaca panas, semua ahli kumpulan kami bersetuju untuk melakukan umrah selepas waktu isya kerana pada waktu itu kami telah kenyang berbuka dan cuaca pun agak sejuk sedikit.
|
Bergambar di Masjid Quba' di Madinah. Masjid yang pertama dibina oleh nabi. |
|
Selesai tawaf sunat tahiyatul bait. Kalau di masjid2 yg lain perkara pertama kita buat apabila masuk masjid adalah solat sunat tahiyyatul masjid tapi di Masjidil Haram kita disunatkan untuk tawaf tahiyyatul bait, tawaf keliling kaabah 7 kali pusingan. |
Alhamdulillah umrah pertama kami selesai walaupun pada awalnya kami terpaksa melalui sekatan polis yang menjaga kawasan Masjidil Haram. Mereka melarang jemaah untuk masuk ke masjid kerana jemaah di dalam masjid terlalu ramai dan mereka hanya membenarkan jemaah yang hendak melakukan umrah sahaja masuk ke dalam. Dalam keadaan tersebut, terasa diri ini hina di sisi Allah dan dapat bayangkan diri berada di Padang Mahsyar. Ramainya hambaNya yang berebut untuk mendekatkan diri kepadaNya. Layakkah kita memasuki syurgaNya kalau memasuki rumahNya yakni Baitullah pun kita tak layak. Selepas selesai tawaf, saie dan bertahalul kami sekeluarga berkumpul dan ketika itu aku sempat melihat kelibat kucing Al-haram yang menjadi viral di fb dan ig. Alhamdulillah itu juga menjadi satu hasratku dan adikku yang sememangnya peminat setia si comel. Dalam kekalutan dengan ramainya jemaah, abangku memberitahu yang kasut dan selipar kami telah 'selamat' disapu oleh tukang sapu masjid. Kami terus mencari tempat di mana beg berisi kasut dan selipar kami tinggalkan. Selepas beberapa minit cuba mencari pintu yang kami masuk, akhirnya kami sampai di tempat kasut dan selipar kami tinggalkan. Ternyata betul kata abangku, kasut dan selipar kami sudah tiada di situ dan ahli kumpulan kami yang lain pun turut mengalami nasib yang sama. Tapi kami redha kerana menganggapnya sebagai ujian dan hanya mampu tersenyum kerana perkara ini terjadi kepada kami yang sebelum ini hanya kami dengar saja ceritanya daripada orang lain. Kata Mutawwif kami sebelum terjadinya kejadian ini, "Anggap saja kita sedekahkan kasut dan selipar kita yang hilang itu. Keluar masjid beli yang baru dekat kedai yang terdekat." Nasib kami sekali lagi baik, keluar saja Masjid, ada seorang perempuan Arab berkulit hitam (Habsyah) menghampiri dan mengajak kami membeli selipar yang dijualnya dengan harga SR5. Alhamdulillah kami semua selamat kembali ke hotel dengan berselipar jepun. Tak mengapalah asal kaki kami terjaga daripada benda2 yang mampu melukakan kaki kami.
|
Pesta Ibadah Malam 27 Ramadhan. Credit to my younger brother for this mesmerizing photo. |
Masuk malam yang ke-27 Ramadhan seolah2 Masjidil Haram sedang meraikan pesta ibadah apabila jutaan dhuyufurrahman memasuki masjid sehinggakan polis mengadakan sekatan terlalu awal iaitu pada waktu Asar lagi dan tidak dibuka sekatan itu sehingga subuh keesokkannya. Disebabkan terlalu ramai jemaah membanjiri Masjidil Haram pada malam tersebut, tingkat 2 mataf sementara terpaksa ditutup pada keesokkannya untuk diperiksa binaannya. Ekoran penutupan mataf itu, Masjidil Haram menjadi semakin sesak sehinggalah ke pagi Syawal. Kami sempat beraya di sana selama 2 hari dan hari raya ke-3 kami bertolak pulang. Sayu meninggalkan kota Mekah tak tergambar dengan kata2. Entah bila kita bakal bersua kembali. Jauh disudut hati aku berazam ingin kembali lagi. Walaupun berpanas dan berdebu suasana di sana tapi keberkatan yang ada di Tanah Suci ini yang menyebabkan hati tidak mahu berpisah. Ingin saja kutinggal di sana. Tapi diri harus kembali kepada realiti kehidupan. Sepanjang kembara ibadah ini, aku tinggalkan dunia yang selalu aku asyik terhadapnya. Aku mengagumi hamba2 Allah yang datang dari segenap pelusuk dunia untuk beribadah hanya kepadaNya walaupun terpaksa tidur di masjid dan kaki lima kedai. Aku merasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan mereka yang mampu menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. walaupun dengan sekecil-kecil perkara. Aku pernah ditegur oleh wanita Arab kerana tersilap minum dengan tangan kiri. Walaupun kita anggap benda ini kecil tapi bila dah terbiasa ianya menjadi satu kesalahan jika tidak diperbetulkan. Sampai sekarang aku masih teringat pesanan beliau apabila ingin meneguk minuman. Mulakan dengan tangan kanan (yamin-dalam bahasa Arab). Hidupkan yang sunnah agar ianya menjadi bekalan pahala kita kelak. Pengalaman yang terindah dalam hidup yang takkan pernah kulupakan. Sama2 kita pasang niat untuk ke sana dengan yakin Allah pasti akan kabulkan impian kita suatu hari nanti. InsyaAllah.. Aku tak sempurna tapi Tuan aku Maha Sempurna yang hanya padaNya aku memohon agar dicukupkan segala yang terbaik untukku untuk aku bertemu denganNya kelak.
Wassalam
P/s: Sekadar perkongsian pengalaman untuk manfaat bersama dan untuk diingati kembali moment2 sewaktu berada di sana. Jika ianya baik jadikanlah pengajaran dan jika ianya buruk jadikanlah sempadan. Wallahua'lam..
0 ulasan:
Catat Ulasan