Jom Click

Sabtu, 16 Jun 2012

Di Sebalik Kesedihan

Bismillahirrahmanirrahim

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Isra' ayat 1)

Hari Sabtu yang lepas (27 Rejab 1433 H) iaitu hari di mana umat islam mengingati kembali peristiwa luar biasa, Israk dan Mikraj, yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Anugerah ini adalah anugerah yang sangat istimewa yang hanya diberikan oleh Allah S.W.T. kepada kekasihNya, Muhammad S.A.W. dan tidak diberikan kepada mana2 nabi sebelumnya kecuali nabi Daud (kalau tak silap). Peristiwa ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada baginda S.A.W. Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan iaitu dua tahun sebelum peristiwa hijrah ke Yathrib (Madinah). Pada tahun tersebut, pelbagai dugaan menimpa Rasulullah S.A.W. sehingga tahun tersebut dipanggil Tahun Dukacita di mana dua orang yang sangat baginda kasihi telah pergi mengadap Ilahi iaitu isteri yang sangat dicintai baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang sangat baginda kasihi, Abu Talib. Siapa yang tak sedih kalau orang yang sangat kita sayang pergi meninggal kita buat selama-lamanya. Walaupun begitu, nabi dapat menempuhi ujian ini dengan tabah dan sabar serta bergantung satu2nya pada Allah. Selepas itu, nabi diuji lagi oleh Allah dengan cemuhan dan penghinaan penduduk kafir Quraish di Mekah yang semakin menjadi-jadi terhadap baginda selepas kematian bapa saudara nabi yang sebelum ini menjadi tempat nabi berlindung. Dek kerana penghinaan mereka ini, nabi berhijrah ke Taif dengan harapan orang2 Taif dapat menerima seruan baginda, namun hampa sekali seruan nabi disambut dengan balingan batu dan najis oleh penduduk Taif. Walaupun kepala nabi berdarah sekalipun, baginda tidak menyimpan dendam terhadap mereka bahkan nabi berdoa agar suatu hari nanti mereka ini diberikan hidayah oleh Allah. Allahuakbar..Betapa mulianya peribadi baginda sebagai seorang rasul.

Di sebalik kesedihan yang dialami baginda ini, ternyata Allah tidak membiarkan nabi bersedih keseorangan malah Allah telah memberikan suatu hadiah yang paling istimewa kepada baginda yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun. Pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan, baginda Muhammad S.A.W. telah dijemput oleh malaikat Jibril untuk melakukan perjalanan (Israk) menaiki Buraq (kenderaan para malaikat) dari Masjidil Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Palestin dan dimikrajkan ke Sidratul Muntaha untuk berjumpa dengan Allah. Pada saat itu jugalah, nabi telah menerima perintah melaksanakan solat secara terus daripada Allah. Allah memerintahkan nabi agar menyeru umat baginda untuk mengerjakan solat 50 waktu sehari namun selepas merayu kepada Allah akhirnya Allah mengurangkan jumlah waktu solat kepada 5 waktu sehari. Sebanyak 9 kali nabi mengadap dan merayu kepada Allah yang mana setiap kalinya 5 waktu solat Allah kurangkan. Di sini juga dapat kita lihat bahawa baginda tidak pernah melupakan umatnya malah betapa kasihnya baginda kepada kita kerana sanggup menahan malu bertemu dengan Allah sebanyak 9 kali meminta agar dikurangkan waktu solat dengan alasan risau takut2 umatnya terbeban dengan 50 waktu solat. SubhanAllah..Lupakah kita untuk bersyukur terhadap pengorbanan yang telah dilakukan baginda ini untuk kita? Bukan ini sahaja pengorbanan baginda bahkan kalau ditelusuri kembali sirah hidup baginda begitu banyak jasa baginda yang telah baginda lakukan dan tinggalkan buat kita sebagai umat akhir zaman. Sama-samalah kita perbanyakkan mengingati baginda pada bulan2 yang mulia ini dengan berselawat kepada baginda (Allahumma solli 'ala saidina Muhammad wa 'ala aali saidina Muhammad).


Daripada Abu Hurairah, Nabi S.A.W. bersabda, "Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad)


Untuk menambah pengetahuan kita tentang peristiwa Israk dan Mikraj:

Selasa, 5 Jun 2012

Triffle Cocktail

Assalamualaikum w.b.t..

Hari ni aku berkesempatan membuat manisan puding triffle cocktail yang sememangnya menjadi dessert favourite aku. Memang sudah lama aku merancang nak buat puding ni tapi tak pernah terbuat. Selalunya kalau ada kenduri kahwin kezen2 aku memang sempat la merasa puding ni kat meja pengantin. Tapi untuk kenduri kezen aku kali ni, agak kempunan jugak la sebab tak sempat nak merasa. Disebabkan teringin sangat nak makan, aku usaha jugak untuk buat. Cari resepi kat internet walaupun dah ada resepi yang suatu masa dulu aku pernah menyalinnya dari kawan tapi biasalah sebab tak pernah cuba buat agak bimbang jugak la kalau tak menjadi. So, aku search kat internet tengok komen2 orang yang pernah buat (sedap atau tak). Jumpa la satu resepi triffle ni kat sini. Komen2 yang positif daripada mereka2 yang pernah buat.


~Yummy!!~

Alhamdulillah menjadi jugak triffle yang aku buat walaupun nampak macam 2 layer jer. Kelam kabut jugak la kat dapur tadi dengan kehadiran kanak2 ribena yang suka sangat 'membantu' aku kalau aku ada kat dapur. Habis berselerak tepung castard dibuatnya. Boleh pulak dia kata aku main masak2 kat dapur. Haih..macam2 la budak2 ni. Geram campur geli hati.

Terubat jugak hati nak makan triffle..^_^


Isnin, 4 Jun 2012

Allah Maha Adil (العدل)

Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah lama aku ingin berkongsi cerita ini tapi setiap kali buka blog tak terfikir pun nak menulisnya. Cerita ni berlaku sewaktu awal2 aku mula mengajar. Kelas KAFA ni berlainan sikit dengan kelas2 biasa di sekolah sebab di kelas KAFA seorang guru akan mengajar kesemua subjek agama termasuklah Al-Quran, Ibadah, Akidah, Sirah, dan Adab. Jadi, selama 3 jam murid2 akan mengadap muka guru yang sama. Biasalah kalau dah lama2 asyik dengar je guru mengajar, budak2 ni cepat la bosan. Untuk mengelakkan mereka daripada mengantuk dan bosan, aku pun mula la bercerita. Lepas satu cerita ke satu cerita, aku pulak terasa penat sebab ada yang nak dengar dan ada jugak yang nak main. Yang nak dengar cerita pulak asyik desak2 suruh aku bercerita lagi. Disebabkan ramai yang buat bising, aku pun berhentilah bercakap dan bagi peluang mereka pulak untuk bertanya dan bercerita. Dalam ramai2 tu, ada la seorang murid lelaki ni, Qayyum namanya, datang dekat aku. Dia ni bijak orangnya dan suka bertanya benda2 yang aku sendiri pun tak terfikir untuk bertanya. Lebih kurang macam ni la dialog aku dengan dia;

Qayyum: Ustazah, saya lama dah nak tanya benda ni.
Aku : Tanya ape?
Qayyum: Ustazah, kenapa yer Allah hidupkan kita di dunia ni?
(Dalam hati, hebatnya budak ni kecik2 dah terfikir benda macam ni..sambil fikir jawapan yang terbaik nak bagi dekat dia)
Aku : Allah hidupkan kita di dunia ni sebab Allah nak suruh kita beribadah pada Dia.
Qayyum : Tak adil la macam tu. Hidupkan kita pastu suruh kita sembah Dia.
Aku : Tak baik la awak cakap macam tu. Allah itu Maha Adil. Kita ni patut bersyukur pada Dia sebab hidupkan kita. Awak tahu tak sebelum awak lahir dulu, berjuta2 roh (nak kata sperma takut dia tak paham pulak) berebut-rebut untuk masuk dalam badan awak tapi dalam banyak2 awak adalah satu-satunya yang terpilih yang dipilih oleh Allah. Tengok betapa beruntungnya awak. Dan satu lagi kalau Allah tak hidupkan awak macam mana la keadaan awak sekarang. Mestilah tak wujud kan? Mesti awak tak dapat jumpa atau kenal mak dan ayah awak. Awak pun mesti tak jumpa ataupun kenal dengan saya.
Qayyum : Betul tu ustazah. Maafkan saya. Saya dah sedar dah sekarang.
Aku : Ingat Qayyum, Allah itu Maha Adil.

~Yang terpilih~

Macam2 gelagat murid2 tahun 3 ni. Bukan diorang ni tak suka belajar agama tapi kadang2 mereka tak boleh nak tafsir sendiri apa makna yang tersirat di sebalik apa yang difardhukan ke atas mereka. Ada jugak yang letak mindset kalau tak pandai agama pun tak pe asal pandai dalam akademik. Aku selalu ingatkan mereka, agama mesti kita letak paling atas sekali. Nak menarik minat mereka kepada agama bukan mudah. Masa zaman aku sekolah dulu, ustaz dan ustazah cerita pasal neraka dan hari kiamat murid2 dah mula takut. Tapi sekarang ni, bila cerita pasal azab neraka dan keadaan semasa hari kiamat mereka ni seolah-olah tak ade perasaan takut langsung. Bila cerita pasal syurga yang dijanjikan Allah dengan kemewahan yang tiada tolok bandingnya barulah ada respons. Sebab itulah masa amali solat aku cuba menarik minat mereka untuk ingat bacaan2 dalam solat dengan memberikan mereka hadiah. Berlumba-lumba mereka menghafal sampai ada yang lemah dalam pelajaran dapat markah yang tinggi dalam amali solat. Inilah keistimewaan agama Islam dan kitab sucinya, Al-Quran. Sesiapa pun hatta yang lemah sekalipun dapat memahami dan mengamalkan ajaran suci ini. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya agama itu (Islam) adalah mudah." (Riwayat Imam Ahmad).

"Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah, dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung. Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama. (Ikutilah) agama nenek moyangmu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu orang-orang muslim sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, agar Rasul (Muhammad) itu menjadi saksi atas dirimu dan agar kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong." (Surah Al-Hajj: Ayat 77-78)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...