Jom Click

Rabu, 30 Disember 2015

DIY Catio

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ni nak bercerita sikit pasal kucing2 aku. Macam mana aku boleh ada sejarah chemistry dengan kucing ni. Dulu aku tak paham kenapa orang minat kucing sampai suka dukung, cium dan kongsi cerita2 pasal kucing. Sampai la aku sendiri yang bela. Sebelum ini aku sejujurnya bukan la pencinta kucing. Jumpa kucing buat2 xtau. Rasa rimas pun ada. Dapat pulak best friend dan adik yang suka sangat kucing. Jumpa kucing terus gosok2 dan dukung. Huh..memang aku tak boleh sebab aku tak suka bulu kucing. Sehinggalah tahun 2012, adik aku yang sememangnya pencinta tegar kucing sejak kecik lagi bawa masuk kucing dalam rumah kami. Kucing tersebut dinamakan Belang milik jiran aku aka makcik dan pakcik aku. Mak Belang ni la yang buka hati aku minat pada kucing. Dia lahirkan anak2 yang comel yg sebelum ni aku xpernah tengok anak kucing secomel itu. Kemudian membiak sehinggalah sekarang dah masuk 27 ekor tak termasuk yang dah mati separuh. 

~Masa awal2 bela. Dari belakang sekali, Kiko, Bubu, Teh dan Lala. Masa ni Lala demam. Esoknya berjangkit kat semua. Dua hari lepas tu Bubu meninggal.~
Bila aku cerita aku bela kucing sebanyak tu ramai yang terkejut dan ada yang tak percaya. Aku pun kadang2 buat2 lupa sebab kalau aku kira aku rasa aku sendiri pun tak sanggup nak bela sebanyak itu. 7 ekor aku lepaskan berkeliaran di luar rumah dan 20 ekor lagi dalam catio atau rumah kucing. Orang yang datang rumah aku suka tengok bila time makan diorang. Bila aku ketuk bekas makanan semua datang. Time tu la diorang percaya betapa banyaknya kucing di rumah aku. Timing makan diorang ada 2 sesi. Sesi pagi pukul 7 dan sesi petang pukul 6. Sesi ni termasuk la cuci dan buang poo2 diorang. Dah macam keja kat zoo pulak. Dulu ada jugak sesi makan tengah hari. Tapi disebabkan aku taknak aktiviti aku terganggu, aku terpaksa skip sesi makan tengah hari. Lagipun time tu waktu tidur diorang. Kucing2 aku ni penyebab aku sayang nak tinggalkan rumah. Sampaikan tahun ni boleh bilang berapa kali je aku tinggalkan. Yelah kalau tinggalkan siapa nak bagi diorang makan. Disebabkan taknak susah orang lain dan aku pun xpercaya sangat orang jaga selain adik aku, melainkan betul2 terdesak baru aku mintak tolong. Salah satu sebab aku berhenti belajar pun sebab ni. Aku xsanggup berjauhan. Kerja pun aku cari yang dekat2 rumah je. Sekarang ni buat bisnes kecik2. Aku nak start dari bawah. Lantaklah apa orang nak kata. Yang penting aku buat apa yang aku suka. Selagi aku mampu untuk jaga kucing2 aku ni selagi tu la aku sanggup bersusah-payah. Aku harap sangat ini akan menjadi saham pahala aku di Akhirat nanti insyaAllah. 

Kucing2 ni aku dah anggap macam anak aku sendiri. Dah hafal perangai sekor2. Ada yang manja, ada yang tak suka bermanja, ada yang suka bergurau dengan kita, ada yang serius, ada yang suka makan berhidang (kita kena tunggu), ada yang suka makan berebut, ada yang nakal, ada yang suka digendong, ada yang penakut, ada yang jenis muka tak malu dan macam2 lagi. Memang seronok. Sampai makcik aku pun cakap bila bela banyak macam ni boleh nampak macam2 perangai dan perbezaan fizikal diorang. Aku pernah bela kucing buta namanya Teh dan kucing bisu namanya Meksu. Teh baru je meninggal bulan puasa hari tu masa aku kat Mekah. Balik2 Teh dah takde. Sayu rasa hati sebab Teh antara kucing paling comel, dengar kata dan paling kami sekeluarga sayang. Susah dah nak jumpa macam Teh. Berehatlah Teh. Nanti kita jumpa ye Teh.

~Teh yang sangat sihat sebelum jatuh sakit (buta kemudian lumpuh)~
Berbalik pada DIY Catio (Rumah kucing). Catio aku ni takde la segah rumah kucing lain. Catio ni dibina di atas tapak kandang lembu arwah pakcik aku suatu ketika dulu. Rumah ni sepupu dan abah aku yang buat dalam masa sehari je. Sebenarnya aku yang paksa abah aku untuk buat. Disebabkan ini adalah pesanan yang aku kira wasiat arwah pakcik (yang merupakan owner asal kucing ni) beberapa hari sebelum dia meninggal. Dia ada bagitau aku, suruhlah abah buatkan rumah untuk kucing ni nanti boleh dia main2 kat dalam tu. Sampai la kucing aku ni membiak dengan banyak. Sekali beranak 6 ekor mana la xbanyak macam ni. Disebabkan aku takde pengalaman bela kucing, aku tak tau di mana klinik veterinar untuk dikasi atau neuterkan kucing ni dan tak tau macam mana nak ubatkan kucing. Tapi sekarang dah jarang sangat pergi vet sebab dah tahu mana nak beli ubat dan dah kenal jenis ubat yang ada. Siap simpan lagi ubat in case kalau demam boleh bagi terus. Cuma aku nak sangat belajar macam mana nak inject ubat untuk kucing. InsyaAllah kalau Allah izinkan.
~Bekal ubat-ubatan diorang~ 

~Catio yang tak seberapa tapi kalau orang nak tinggal dalam ni pun boleh. Siap ada katil, tilam & kerusi set lagi..he3~
Dah masuk setahun dah catio ni. Betul kata orang. Nak buat sangkar kucing lagi complicated daripada sangkar binatang lain disebabkan otaknya yang geliga mampu untuk mencari ruang untuk escape. Lubang yang kecil kalau muat kepala diorang senang je boleh terlepas. Banyak yang dah aku baiki sendiri walaupun tak pandai guna penukul aku paksa jugak guna. Walaupun dah macam2 cara aku buat sehingga sekarang ada lagi yang mampu keluar dari catio tu. Nasib baik sekor je yang tahu jalan keluar. Harap2 yang lain tak tiru. Diorang sebenarnya cepat belajar (part escape la terutamanya). Dalam catio ni yang terbaru ada tilam. Tilam ni asalnya makcik aku punya tapi dia cakap dah taknak. Daripada dibakar baik aku amik letak dalam catio kucing aku. Bila letak dalam tu bukan main lena lagi diorang tidur. Nasib bantal je yang takde. InsyaAllah coming soon. He3.. Banyak lagi yang nak diletakkan termasuk mainan untuk si kecil cuma xsempat je lagi nak ke kedai. Mainan pun kejap je bertahan. Kalau yang baru semua berebut termasuklah yang besar. Bila lama2 dah puas xnak main. Ada sebelum ni dapat free gift tikus mainan. Tapi kejap je hilang xdapat dikesan. Kalau benda kecik2 xpayah la letak memang takkan jumpa lepas tu. Bekas ubat yang kecik pun diorang boleh main. Nasib baik jumpa. 

Sampai sini saja la cerita ni. Panjang pulak kalau cerita bab kucing ni. Kalau ada yang berminat nak baca lagi cerita pasal kucing2 ni boleh ke blog aku yang satu lagi. Blog baru mih.cat@blogspot.my     kbai.. Assalamualaikum w.b.t..    

Rabu, 2 Disember 2015

Tips Persediaan Untuk Dibawa Ke Tanah Suci

Assalamualaikum w.b.t.

Aku nak share tips sikit untuk barang2 yang perlu dibawa untuk ke Tanah Suci bagi muslimah:

1) Telekung
Kalau boleh 2 pasang telekung. Boleh bergilir. Satu basuh yang satu lagi pakai. Kain kalau nak bawa pun bawa 1 je sebab kat sana kita pakai jubah dengan telekung je. Kain ni spare untuk guna masa solat kat airport atau hotel kalau terlambat untuk solat kat masjid.

2) Jubah
Kalau boleh bawa 2 atau 3 pasang. Boleh bergilir jugak. Jubah ni lambat sikit nak kering kalau basuh. Tapi kat sana banyak jubah dijual. Macam2 saiz ada. Saiz XS pun ada. Jangan risau sebab kedai sebelah hotel je. Jubah aku galakkan beli di Madinah. Borong banyak2 kat situ sebab murah sangat (kalau nak beli untuk sedara mara digalakkan beli kat Madinah). Ada yang aku beli 25 Riyal je sehelai. Pergh..mana nak cari kat Malaysia jubah murah macam ni. Macam mana nak nego kalau xpandai cakap arab? Takpe..orang Arab dan Bangla yang jual kat sana semua fasih cakap Melayu. Tapi kalau taknak beli jangan mengada nak tawar menawar nanti tak pasal2 dapat dosa kering bergaduh dengan diorang.

3) Seluar panjang
Kalau boleh 2 atau 3 pasang. Macam jubah sebab kita nak pakai dengan jubah. Taknak la nanti terselak jubah masa berjalan atau solat. Dapat elak daripada terbayang nampak benda yang tak sepatutnya. Ingat tau kita dalam Ihram. Aurat kena betul2 jaga kalau tak nanti kena dam. Cerita pasal dam ni sangatlah gerun lebih2 lagi kalau kita tak berapa tahu pasal dam. Habis effect ibadah kita. Ada yang bertahun2 balik daripada umrah baru perasan yang dirinya terlanggar pantang larang ihram dan terpaksa bayar dam bukan sikit tapi seekor unta. Huh..jangan main2 dengan ihram ni. Sebab tu bila pergi kursus umrah ustaz akan ulang2 banyak kali 13 pantang larang ihram. MESTI INGAT! 

4) Handsock dan Stoking
Kalau boleh 2 pasang handsocks dan 2 atau 3 pasang stoking. Boleh gilir2. Tapi yang paling banyak guna stoking la. Sebab nak kemana2 wajib pakai stoking tu. Kaki kan aurat. Hati2!! Hatta nak ke dewan makan di hotel stoking kena pakai. Nak beli handsock dan stoking boleh contact aku kat page Muslim In House (Promote jap..he3)

5) Lotion, Krim dan Lipbalm
Bawa lotion, krim muka dan lipbalm tau kalau kulit sensitif. Cuaca di sana tak sama dengan sini. Mungkin kejutan cuaca menyebabkan kulit kita menggelupas kering dan luka. Aku pernah rasa betapa sakitnya sebab terlupa bawa krim muka. Tapi bila sakit jangan mengeluh. Fikir yang positif saja mungkin Allah nak hapuskan dosa2 kita. Kat sana kalau demam atau batuk atau selsema ke minum je air zam2. Niat supaya cepat2 sembuh dan boleh buat ibadah dengan selesa. Yang penting yakin dengan Allah! 

6) Tudung labuh
Bawa 1 pasang (warna hitam pun ok). Untuk diguna masa nak ke dewan makan dan masa nak bertolak pergi dan balik. Boleh je nak pakai telekung tapi risau pulak sebab nanti kotor masa makan kan. Better bawa la untuk kita pakai masa di hotel dan dalam penerbangan pergi dan balik.  

7) Kasut dan selipar
Masa nak pergi tu pakailah kasut nanti boleh cover rasa sejuk atas flight 9 jam. Selipar pulak untuk kegunaan nak ke masjid dan ke dewan makan di hotel. Tapi kalau rasa nak pakai kasut satu je kat sana pun ok. Cuma jangan la terlintas dalam hati kalau hilang macam mana. Sebab aku pernah kena. Kat sana jangan fikir perkara negatif sebab kat sana tak perlu lafaz di mulut cukup dihati je Allah bagi terus. Hu3...beringat sangat2. Fikir yang positif je sebab yang positif pun Allah bagi Cash! Mula2 bila ada ustaz cakap apa yang kita fikir atau terniat dalam hati mesti Allah makbulkan. Aku pun try. Memang betul2 jadi. Aku dah pernah hilang selipar dan yang paling best aku teringin nak makan singgang ikan di Mekah walaupun dalam otak aku fikir mana la ada kat sini.. dan esoknya masa nak makan tengok2 lauk ada Singgang ikan!! SubhanAllah siapa yang tahu kan. Ummi aku pun terkejut sebab sebelum tu aku ada bagitau dia. Jadi, sekali lagi hati2 dengan niat dan percakapan kita. Tapi kalau benda elok why not sebut banyak kali kan? InsyaAllah moga termakbul hasrat di hati.

8) Ubat-ubatan
Bawalah panadol, ubat demam, selsema, koyuk (yang tampal tu untuk kurangkan sakit urat duduk atas flight lama), panadol extent (utk sakit urat) dan ubat-ubatan lain yang perlu. Fikir apa ubat yang selalu kita amik. Macam aku selalu guna TYT dan minyak cap kapak. Itu pun aku bawak. Memang kat sana aku guna sebab kulit aku luka aku sapu TYT dan minyak cap kapak pulak guna sapu kat mata masa mengantuk. Ha3.. ye la godaan bila i'tikaf di masjid. Tengok orang tidur kita pun tergoda. 

9) Botol Spray
Yang ni pun berguna. Masa dalam flight boleh spray untuk amik wudhu'. Kat masjid pun boleh. Tapi aku galakkan kalau selagi boleh ke toilet amik wudhu' pergi la. Sebab ada instructor dalam Masjidi Nabawi ada pesan. Setiap kali ada orang amik wudhu' dalam masjid bila ada cleaner yang tengok mereka akan bersihkan tempat wudhu' tu dan kalau air bekas wudhu' terkena carpet diorang akan gulung carpet tu. Kenapa macam tu? Sebab bagi diorang air bekas wudhu' tu ibarat kotoran dan perlu dibersihkan segera agar tempat solat kita tu suci. Nak amik wudhu' guna spray boleh tapi cari la sudut2 yang orang tak lalu dan orang tak solat kat situ.  

10) Keperluan lain yang dirasakan perlu
Tuala tak perlu bawa pun sebab kat hotel dah sedia. Hari2 boleh tukar. Bagitau je Janitor hotel tu cakap nak tukar tuala. Aku selalu mintak sampai dia pun kenal aku dan siap offer nak Laundry baju sekali.He3..tapi berbayar la. Sehelai 4 Riyal. Tapi ok la sebab jubah susah nak basuh dan kering. Bagi hari ni esok dapat yang siap iron dah. Bawa tuala muka je cukup sekadar nak lap muka dan lapik tempat sujud masa solat kat airport. Sejadah pun xperlu bawa. Beli je kat sana 10 Riyal je dapat yang besar. Boleh guna buat tutup kepala masa musim panas.

Yang tu je kot aku rasa penting nak share. Yang Paling Penting ILMU tentang Umrah. Jangan lupa tau baca dan khatam buku panduan umrah dan pergi kursus Umrah banyak kali pun takpe. Kalau tak paham tanya ustaz atau mutawwif. Jangan berlagak macam tahu semua walaupun dah pergi buat Umrah banyak kali. Aku pun masih belajar lagi. Banyak sebenarnya yang perlu kita tahu termasuklah SIRAH HIDUP NABI MUHAMMAD S.A.W. dan kisah2 yang berlaku di setiap tempat yang kita Ziarah. Baca juga buku Mekah dan Madinah. Semoga ziarah kita bukan sekadar ziarah tapi dapat diambil ibrah yakni pengajaran di setiap tempat yang kita pergi. Yang paling tersentuh Medan Uhud. Apa yang pernah terjadi disana? Jasad siapa yang bersemadi disana? Kenapa tentera Islam kalah di Medan Uhud? Apa yang terjadi pada Rasulullah S.A.W. dalam peperangan tersebut? Jadikan umrah dan ziarah kita bukan sekadar pelancongan yang tiada makna tapi jadikanlah pelancongan penyucian jiwa yang penuh dengan ibadah.. InsyaAllah.. Moga Allah permudahkan urusan kita semua.. Aaminn.. Doakan aku juga untuk sampai ke Haramain lagi dan lagi wahai sahabat! ^_^ 

Selasa, 1 Disember 2015

Sahut Seruan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah..semalam aku sempat melawat jiran yang bakal berangkat mengerjakan umrah pada Jumaat ini. Tak disangka masa pergi melawat tu rupa2nya ramai jugak jiran2 dan sedara mara aku yang bakal mengerjakan umrah pada bulan ini dan bulan depan. Hampir 20 orang jugak la. Terkejut pun ada. Tapi kuasa Allah tiada siapa yang tahu. Alhamdulillah aku tumpang gembira buat mereka. Semoga mereka diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci dan dapat mengerjakan umrah dengan baik serta mendapat umrah yang maqbulah. InsyaAllah.. Rasa gembira sangat2 bila dapat tahu semakin ramai yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk ke Tanah Suci. 

Umrah adalah ibadah yang wajib bagi yang mampu dan pertama kali mengerjakannya. Jangan kata "Aku tak wajib lagi sebab duit tak cukup" Ya betul tapi pernahkah kita berusaha untuk mengumpul duit dengan niat mengerjakan umrah atau duit yang kita ada kita guna untuk melancong ke tempat lain dulu. "Nak pergi umrah kalau takde RM5-6Ribu tak payah la nak berangan" Eh..kalau ke Korea boleh pulak kan. Apa kata duit yang kita ada kumpul sikit2 untuk ke Tanah Suci. Kadang2 rezeki ni siapa yang tahu. Tambah lagi niat kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Nak pergi ziarah Nabi Muhammad S.A.W. Nak pergi ziarah dan beribadah di rumah Allah. Bila kita yakin dan tetapkan niat untuk ke sana insyaAllah Allah pasti permudahkan untuk kita dan memberikan rezeki kepada kita tanpa disangka2. Ada sedara aku yang datang sekali ziarah jiran aku pun dapat sponsor daripada seorang hamba Allah untuk mengerjakan umrah bulan 1 tahun depan. Dia mempunyai anak OKU dan kurang berkemampuan dari sudut kewangan. Tapi siapa sangka rezeki dia untuk ke Tanah Suci dipermudahkan oleh Allah. 

Moga tiada lagi alasan untuk kita. Yang paling penting pasang niat betul2 dan berdoa selalu semoga cepat2 dijemput ke Tanah Suci. Kenapa aku guna perkataan dijemput? Umrah dan haji telah lama diseru oleh Nabi Ibrahim A.S. ke atas kita dan telah tertulis dalam Al-Quran Surah Al-Hajj Ayat 27 yang bermaksud:

“Dan serulah manusia untuk berhaji, mereka datang dengan berjalan kaki, dan sebagian lagi menunggang unta, mereka datang dari tempat yang jauh”    

Seruan ini akan dijawab oleh kita dalam bentuk talbiah:

 "لبيك اللهم لبيك, لبيك لاشريك لك لبيك, ان الحمد, والنعمة لك والملك, لاشريك لك"“Hambamu telah datang menyahut panggilanMu,Ya Tuhan,hambaMu datang menyahut panggilanMu, Sesungguhnya segala puji pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu”
Bermimpilah untuk berada di tempat ini. Moga mimpi kita menjadi kenyataan. InsyaAllah..

Seruan ini dijawab bila mana kita ditakdirkan untuk sampai ke sana. Takdir untuk sampai ke sana adalah rezeki daripada Allah seolah-olah kita mendapat Jemputan Agung daripadaNya. Semua orang mendapat seruan Nabi Ibrahim A.S. tetapi hanya insan terpilih sahaja yang dapat menjejakkan kaki ke sana. Dan insyaAllah kita termasuk dalam favourite list tersebut. Bila dah dapat Jemputan Agung ini jangan ditolak kerna kita tidak tahu bila lagi kita akan ke sana. Barang kali banyak halangan untuk ke sana tapi percayalah Allah adalah sebaik2 perancang. Hanya Dia yang tahu bila masa terbaik untuk kita. Jadi, Sahutlah Seruan!!  

Rabu, 18 November 2015

Handsock Kala Button Ring

Keistimewaan Handsock Kala Button Ring :
Diperbuat daripada material cotton yang menyerap peluh, sejuk dan selesa. Dihiasi dengan button yang comel dan menarik. Sesuai digayakan dengan blouse dan juga jubah.
Harga RM13/ pasang exclude postage ( + RM6, sm & + RM10, ss ). Stock semakin surut & terhad.
Order: WhatsApp 0199330312

Rabu, 4 November 2015

Syukur Atas Nikmat Yang Diberi

Assalamualaikum w.b.t

Pelangi Senja
Pemadangan dari atas Jeddah, Saudi.
Agak lama sebenarnya tidak menaip entri untuk blog ini. Rindu sebenarnya. Alhamdulillah banyak sungguh nikmat yang Allah berikan tanpa disangka2. Sungguh Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Walaupun hati ini berkata tak mungkin Allah nak beri sedangkan aku tak punya apa2 untuk dapatkan apa yang aku mahu. Tapi perancangan Allah siapa yang menyangka. Alhamdulillah aku telah diizinkan buat kali keduanya menjadi tetamu Allah di Tanah Suci yang menjadi idaman setiap muslim sejati. Tanggal 7 Julai 2015 aku bertolak ke Jeddah bersama2 ahli keluargaku seramai 7 orang termasuk aku. Memang tak disangka hasrat ibu bapaku hanya ingin membawa adik-adikku 3 orang sahaja tetapi entah bagaimana perancangan Allah yang cukup sempurna telah mengabulkan permintaanku untuk bersama2 adik-beradik yang lain untuk melakukan ibadah umrah. Amat benar janji Allah. "Berdoalah kepadaKu nescaya akan kuperkenankan bagimu"(Surah AL-Mukmin;Ayat 60). Doaku di depan Kaabah tahun 2011 pada umrah pertamaku untuk datang bersama2 keluargaku diperkenankan Allah dengan begitu cepat. Cerita ini bukan untuk kubangga2kan kerna setiap daripada kita punya cerita hebat belaka. Mungkin kita rasa apa yang ada pada orang lain itu lagi hebat tapi percayalah jika kita bersyukur dengan apa yang kita ada, kita akan rasa cerita kita lebih hebat daripada orang lain. Kerna Allah tak pernah menyia2kan hambaNya yang bersyukur.

Pelangi Senja
Last minute dapat visa. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya.

Cerita-cerita Menarik di Tanah Haram Madinah & Mekah (07072015-19072015)

Setibanya di Jeddah, aku rasakan seolah2 bermimpi berada ditempat yang sama suatu ketika dulu. Kupejam mata dan cuba mengenangkan masa yang pernah kulalui sebelum ini di tempat tersebut. Sungguh syahdu. Sampai di sempadan Tanah Haram Madinah, air mataku bercucuran tak mampu untuk kubendung betapa rindu yang teramat pada tanah suci tempat jasad Nabi Muhammad S.A.W. bersemayam. Tak sabar rasa hati ingin 'bertemu' junjungan besar Muhammad S.A.W. Aku ingin menyampaikan salam dan ingin saja beritahu aku datang menemuimu buat kesekian kalinya. Syukur bila mana dapat melihat dari jarak jauh Masjidi Nabawi. Alhamdulillah kali ini aku dapat menginap di hotel (Mubarak Silver Hotel) yang berjarak 100M agak dekat dengan pintu masuk ke tempat solat muslimah. Pintu 25. Pagi keesokkannya aku berhajat ingin memasuki raudhah bersama ummi dan adik2ku. Alhamdulillah, walaupun tidak ada membantu untuk tunjukkan cara tapi Allah sediakan pembantu untuk kami. Sedang beriktikaf di dalam masjid, kami terdengar panggilan Instructor daripada orang Indonesia memanggil2 untuk berkumpul sebelum masuk ke raudhah. Peluang ini langsung kami ambil. Disebabkan jemaah yang terlalu ramai, kami dapat memasuki raudhah pada jam 9 pagi selepas menunggu sejak jam 6 lagi. Raudhah kali ini sama juga seperti yang lalu sesak dengan ramai jemaah. Terpaksa berhimpit untuk masuk tapi syukur ada jemaah Indonesia yang sudi membantu kami untuk membuat 'pagar' sementara kami solat. Ini pengalaman terbaru bagi adik2ku. Tapi aku sudah menjangka ini semua akan berlaku dan peringatan awal sudah kuberikan pada mereka.

Pelangi Senja
Sekotak kurma dan makanan2 yang bakal diagihkan berhampiran dengan tiang besar Masjidi Nabawi. 
Pelangi Senja
Penuh peti ais dengan makanan sedekah.
Kami berbuka puasa di Masjidi Nabawi. Kebetulan kami tidak tahu menahu bahawa setiap tiang di dalam masjid akan ada dermawan yang menyedekahkan makanan. Tiga malam berturut2 kami berbuka puasa berhampiran tiang2 besar dalam masjid dan tiap kali berbuka puasa kami diberi sejumlah roti, kurma dan yogurt yang tak mampu kami habiskan. Bila habis ditambahnya lagi dan kami tidak mampu untuk menolak kerana mereka ingin menghabiskan makanan yang ada. Sehinggakan penuh peti ais kami diisi dengan yogurt dan makanan. Ada yang kami sempat sedekahkan dan ada yang kami hanya mampu tinggalkan dalam peti sejuk di hotel selepas checkout untuk ke Mekah dengan hasrat untuk sedekahkan kepada janitor2 hotel. Malam yang keempat kami beralih di saf yang jauh daripada tiang dan ternyata hanya separuh roti dan 1 bekas yogurt saja yang kami dapat. Rupa-rupanya sebelum ini kami duduk 'berjiran' dengan orang kaya dan dermawan di Madinah. Mereka nampak biasa berjubah hitam dan berniqab hitam tapi siapa yang sangka disebalik pakaian itu ada handbag LV dan gelang emas yang bertatahkan berlian menghiasi lengan mereka. Sungguh membuatkan aku teruja melihat mereka. Siapa kata mereka ini tidak pandai bergaya dan mundur dari segi berfesyen? Dalam Masjidi Nabawi, wanita2 Arab yang biasanya memakai niqab dan berjubah hitam akan menanggalkan niqab mereka dan membiarkan jubah mereka terbuka hingga menampakkan gelang2 emas yang mereka pakai.  Disebabkan itu, pihak berkuasa Masjidi Nabawi melarang jemaah wanita mengambil gambar dan video di dalam masjid dikhuatiri akan terambil gambar yang menampakkan aurat para jemaah. Beg diperiksa satu persatu di pintu masuk bahagian Muslimat untuk memastikan kamera tidak dibawa masuk. Bagi aku untuk melepasi pemeriksaan mereka, aku sembunyikan beg sandang ke belakang dalam kain telekungku. Masuk cepat2 masa mereka tengah sibuk check beg jemaah lain. Tapi kalau mereka tengah aim kita dari jauh kita terpaksa buka beg cepat2 supaya kita tidak dimarahi. Aku lari dari mereka bukan sebab bawa kamera tetapi disebabkan malas untuk membuka zip beg satu persatu.

Pelangi Senja
Antara roti, yogurt yang kami dapat sebelum berbuka. Selepas berbuka dapat lagi.
Berbuka puasa di Masjidi Nabawi sangat mewah berbanding dengan Masjidil Haram. Walaupun begitu, satu contoh yang dapat diambil daripada orang Arab ini walaupun mereka ini bersifat kasar tapi dalam bab menderma dan bersedekah merekalah yang mendahului walaupun hanya dengan sehelai tisu atau sebiji tamar atau segelas air zamzam. Mereka tidak malu untuk bersedekah dengan sekecil2 perkara. Inilah hasil ajaran nabi Muhammad S.A.W. Anak-anak orang Arab ini didik dari kecil lagi untuk bersedekah. Hari keempat berbuka puasa di Masjidi Nabawi, aku duduk berhampiran seorang wanita arab dan dua orang anaknya perempuan yang berusia sekitar 7 dan 8 tahun. Di hadapanku ada seorang wanita Indonesia dan seorang anaknya lelaki. Semasa menunggu masuk waktu berbuka ada seorang gadis arab mengagihkan gula2 kepada dua orang budak perempuan tersebut dan terlepas pandang untuk memberikannya kepada budak lelaki Indonesia itu. Budak lelaki itu melihat gula2 yang dipegang oleh budak2 perempuan arab seolah-olah mahukan gula2 tersebut. Secara serentak kedua2 budak perempuan itu menghulurkan gula2 masing2 kepada budak laki2 itu. Sangat tersentuh melihat saat itu. Sungguh mulia hati mereka walaupun mereka masih kanak2.

Pelangi Senja
Ziarah wada' - Ucapan salam selamat tinggal kepada baginda diiringi dengan doa sebelum berangkat ke Mekah.

Berpuasa di Tanah Suci yang suhunya mencecah 50 darjah celsius amat mencabar. Ini pengalaman kedua aku berpuasa di sana. Air untuk mandi sudah seperti air panas yang sesuai untuk melarutkan kopi dan gula untuk diminum. Itulah antara dugaan yang terpaksa ditempuh. Aku terlupa untuk membawa krim muka dan kesilapan aku menyapu bam yang disangka krim muka membuatkan mukaku mengelupas dan luka. Sakit,pedih dan malu sebenarnya untuk berdepan dengan muka yang agak tidak selesa dipandang. Tapi Allah itu Maha Mendengar lebih2 lagi ketika berada di tanah suci yang mana ianya tempat mustajab doa. Doaku untuk mukaku kembali seperti biasa dimakbulkan oleh Allah sehari sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Aku dapat rasakan yang sebenarnya Allah sedang menguji aku. Menitis air mata mengenangkan dosa2 yang lalu. Banyak noda yang telah aku lakukan sepanjang hayatku ini. Dapat aku rasakan yang sakit yang ditanggungku adalah asbab Allah nak hapuskan dosa2ku. Alhamdulillah, bila aku sedar ini adalah cara Allah nak hapuskan dosa2ku aku bertambah redha dan seketika itu Allah hadirkan penawar dan menghilangkan rasa sakit itu perlahan-lahan. 

Pelangi Senja
Berpakaian ihram. Bergambar di depan hotel sebelum bertolak ke Mekah.
Selepas 5 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah dengan berpakaian ihram bertelekung dan berjubah putih untuk mengambil pahala sunnah. Dalam perjalanan, kami singgah di miqat, Masjid Dzul Hulaifah atau nama lainnya Bir Ali untuk berniat ihram sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Haram Mekah. 5 jam perjalanan tidak terasa kerana jalannya yang luas dan lurus tanpa tol dan pemandangan padang pasir yang diselang seli dengan kehadiran unta2 yang mengingatkan kembali akan sirah penghijrahan nabi Muhammad S.A.W. dari Mekah ke Madinah melalui padang pasir yang tandus tiada pokok2 hijau yang rendang menghiasi dengan keadaan panas terik. Kami bertalbiah bersama2 dengan diketuai laungannya oleh Mutawwif yang amat menyentuh jiwa. Sungguh hati ini tidak sabar untuk melihat Kaabah di depan mata. Rindu tidak dapat dibendung. Masih teringat harum baunya tatkala mendekati Kaabah ketika bertawaf. Kami sampai di hotel sebelum waktu Asar. Kami bernasib baik. Hampir2 saja bas kami disekat untuk masuk menghampiri hotel disebabkan jalan terpaksa ditutup untuk memberi laluan jemaah berjalan kaki ke Masjidil Haram dan di jalan tersebut juga jemaah membina sof solat. Bayangkan betapa ramainya jemaah sehingga dari jarak 700M diluar masjid, jalan2 penuh dengan jemaah untuk solat. Kami check in ke Hotel Hera dan diberi taklimat oleh Mutawwif yang bertugas di hotel tersebut. Kami diberi pilihan untuk terus melakukan umrah atau untuk menunggu selepas isya. Pada permulaannya ramai yang ingin terus melakukan umrah disebabkan tidak mahu berada lama dalam pantang-larang ihram. Tapi selepas ustaz menceritakan ada seorang jemaah wanita dari kumpulan lain jatuh pengsan ketika tawaf dalam keadaan cuaca panas, semua ahli kumpulan kami bersetuju untuk melakukan umrah selepas waktu isya kerana pada waktu itu kami telah kenyang berbuka dan cuaca pun agak sejuk sedikit. 
Pelangi Senja
Bergambar di Masjid Quba' di Madinah. Masjid yang pertama dibina oleh nabi.
Pelangi Senja
Selesai tawaf sunat tahiyatul bait. Kalau di masjid2 yg lain perkara pertama kita buat apabila masuk masjid adalah solat sunat tahiyyatul masjid tapi di Masjidil Haram kita disunatkan untuk tawaf tahiyyatul bait, tawaf keliling kaabah 7 kali pusingan.
Alhamdulillah umrah pertama kami selesai walaupun pada awalnya kami terpaksa melalui sekatan polis yang menjaga kawasan Masjidil Haram. Mereka melarang jemaah untuk masuk ke masjid kerana jemaah di dalam masjid terlalu ramai dan mereka hanya membenarkan jemaah yang hendak melakukan umrah sahaja masuk ke dalam. Dalam keadaan tersebut, terasa diri ini hina di sisi Allah dan dapat bayangkan diri berada di Padang Mahsyar. Ramainya hambaNya yang berebut untuk mendekatkan diri kepadaNya. Layakkah kita memasuki syurgaNya kalau memasuki rumahNya yakni Baitullah pun kita tak layak. Selepas selesai tawaf, saie dan bertahalul kami sekeluarga berkumpul dan ketika itu aku sempat melihat kelibat kucing Al-haram yang menjadi viral di fb dan ig. Alhamdulillah itu juga menjadi satu hasratku dan adikku yang sememangnya peminat setia si comel. Dalam kekalutan dengan ramainya jemaah, abangku memberitahu yang kasut dan selipar kami telah 'selamat' disapu oleh tukang sapu masjid. Kami terus mencari tempat di mana beg berisi kasut dan selipar kami tinggalkan. Selepas beberapa minit cuba mencari pintu yang kami masuk, akhirnya kami sampai di tempat kasut dan selipar kami tinggalkan. Ternyata betul kata abangku, kasut dan selipar kami sudah tiada di situ dan ahli kumpulan kami yang lain pun turut mengalami nasib yang sama. Tapi kami redha kerana menganggapnya sebagai ujian dan hanya mampu tersenyum kerana perkara ini terjadi kepada kami yang sebelum ini hanya kami dengar saja ceritanya daripada orang lain. Kata Mutawwif kami sebelum terjadinya kejadian ini, "Anggap saja kita sedekahkan kasut dan selipar kita yang hilang itu. Keluar masjid beli yang baru dekat kedai yang terdekat." Nasib kami sekali lagi baik, keluar saja Masjid, ada seorang perempuan Arab berkulit hitam (Habsyah) menghampiri dan mengajak kami membeli selipar yang dijualnya dengan harga SR5. Alhamdulillah kami semua selamat kembali ke hotel dengan berselipar jepun. Tak mengapalah asal kaki kami terjaga daripada benda2 yang mampu melukakan kaki kami.

Pelangi Senja
Pesta Ibadah Malam 27 Ramadhan. Credit to my younger brother for this mesmerizing photo.
Masuk malam yang ke-27 Ramadhan seolah2 Masjidil Haram sedang meraikan pesta ibadah apabila jutaan dhuyufurrahman memasuki masjid sehinggakan polis mengadakan sekatan terlalu awal iaitu pada waktu Asar lagi dan tidak dibuka sekatan itu sehingga subuh keesokkannya. Disebabkan terlalu ramai jemaah membanjiri Masjidil Haram pada malam tersebut, tingkat 2 mataf sementara terpaksa ditutup pada keesokkannya untuk diperiksa binaannya. Ekoran penutupan mataf itu, Masjidil Haram menjadi semakin sesak sehinggalah ke pagi Syawal. Kami sempat beraya di sana selama 2 hari dan hari raya ke-3 kami bertolak pulang. Sayu meninggalkan kota Mekah tak tergambar dengan kata2. Entah bila kita bakal bersua kembali. Jauh disudut hati aku berazam ingin kembali lagi. Walaupun berpanas dan berdebu suasana di sana tapi keberkatan yang ada di Tanah Suci ini yang menyebabkan hati tidak mahu berpisah. Ingin saja kutinggal di sana. Tapi diri harus kembali kepada realiti kehidupan. Sepanjang kembara ibadah ini, aku tinggalkan dunia yang selalu aku asyik terhadapnya. Aku mengagumi hamba2 Allah yang datang dari segenap pelusuk dunia untuk beribadah hanya kepadaNya walaupun terpaksa tidur di masjid dan kaki lima kedai. Aku merasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan mereka yang mampu menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. walaupun dengan sekecil-kecil perkara. Aku pernah ditegur oleh wanita Arab kerana tersilap minum dengan tangan kiri. Walaupun kita anggap benda ini kecil tapi bila dah terbiasa ianya menjadi satu kesalahan jika tidak diperbetulkan. Sampai sekarang aku masih teringat pesanan beliau apabila ingin meneguk minuman. Mulakan dengan tangan kanan (yamin-dalam bahasa Arab). Hidupkan yang sunnah agar ianya menjadi bekalan pahala kita kelak. Pengalaman yang terindah dalam hidup yang takkan pernah kulupakan. Sama2 kita pasang niat untuk ke sana dengan yakin Allah pasti akan kabulkan impian kita suatu hari nanti. InsyaAllah.. Aku tak sempurna tapi Tuan aku Maha Sempurna yang hanya padaNya aku memohon agar dicukupkan segala yang terbaik untukku untuk aku bertemu denganNya kelak.

Wassalam  

P/s: Sekadar perkongsian pengalaman untuk manfaat bersama dan untuk diingati kembali moment2 sewaktu berada di sana. Jika ianya baik jadikanlah pengajaran dan jika ianya buruk jadikanlah sempadan. Wallahua'lam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...